Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah dapat
menyelamatkan hampir setengah bilion ringgit wang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad hari ini.
Beliau berkata ini dilakukan melalui rundingan
semula 97 transaksi tanah di ibu negara, sekali gus menambah pendapatan DBKL
dengan tepat sebanyak RM481 juta.
Loading...
Beliau berkata ia merupakan antara kejayaan utama
kementeriannya dalam tempoh setahun sejak PH mengambil alih tampuk pemerintahan
negara daripada Barisan Nasional.
Menurut laporan media sebelum ini, rundingan semula
itu diadakan susulan ada kes transaksi tanah yang dibuat tanpa melalui tender
terbuka dan ada kes tanah dijual di bawah harga pasaran semasa pentadbiran BN.
Tambahan pendapatan itu diperoleh dalam bentuk
tunai dan nilai tanah, antaranya termasuk lima transaksi tanah yang dirunding
di luar mahkamah dan mendapat bayaran balik dalam bentuk infrasturktur, kata
menteri itu dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini sempena
setahun PH mentadbir negara.
Selain itu, kata Khalid, pewartaan Pelan
Pembangunan Kuala Lumpur 2020 pada Oktober lepas juga merupakan langkah terbaik
yang dilakukan kementerian bertujuan mengawal pembangunan bandar raya Kuala
Lumpur.
Menyentuh perancangan masa depan, beliau berkata
pihaknya sedang merangka Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040 dan akan
dipamerkan kepada orang ramai pada penghujung tahun ini.
Khalid berkata apabila menerajui kementeriannya,
beliau mendapati pada asalnya pembangunan yang dirancang di ibu negara
mempunyai kepadatan penduduk dan pembangunan yang tinggi dengan densiti 2,000
orang bagi satu 0.4 hektar.
“Jadi bagi Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2020-2040
ini apa yang kita akan tetapkan dalam pewartaan ialah maksimum densiti tidak
boleh melebihi 1,000 orang bagi satu ekar tanah,” katanya sambil menambah kata
kepadatan pembangunan juga dikurangkan bagi mengawal pembangunan.
Bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan
membantu golongan B40, Khalid berkata DBKL telah mengambil alih perkhidmatan
Bas Go KL dan ditempatkan di kawasan kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR).
Khalid berkata perkhidmatan itu memberikan servis
percuma bagi perjalanan untuk ke kawasan mudah akses seperti stesen kereta api
dan pengangkutan awam lain, selain memanfaatkan lebih 1,000 penumpang setiap
hari.
Mengenai projek Taman Rimba Kiara, beliau berkata
pihaknya telah berjaya membuat rundingan dengan pemaju untuk menurunkan
keluasan pembangunan daripada 4.9ha (12 ekar) kepada 3.2ha (8 ekar) sahaja
susulan terdapat bantahan daripada penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang
tidak bersetuju dengan pembangunan projek tersebut.
“Saya telah berunding dengan pemaju untuk 'scale
down' (mengecilkan) projek daripada lapan blok kepada empat blok pangsapuri
sahaja dan satu blok pangsapuri akan tetap dibekalkan kepada 100 keluarga rumah
panjang sepertimana yang dipersetujui sebelum ini," katanya.
Beliau juga berkata penubuhan Mesyuarat Majlis
Menteri di bawah DBKL membuktikan ketelusan kerajaan PH dalam usaha
membangunkan bandar raya Kuala Lumpur.
Perkara itu dapat dilihat dengan penglibatan 11
Anggota Parlimen yang turut menganggotai mesyuarat tersebut, selain Datuk
Bandar Kuala Lumpur serta pegawai DBKL dan Kementerian Wilayah Persekutuan.
“Mesyuarat yang diadakan setiap dua bulan sekali
ini merupakan satu inovasi apabila kita memanggil 11 Anggota Parlimen duduk
bersama dengan DBKL dan kementerian di mana mereka turut sama memikirkan
seolah-olah sebagai kerajaan yang memerintah KL dan merancang bersama untuk
menentukan dasar dan polisi bagi pembangunan Kuala Lumpur.
“Sebelum ini anggota Parlimen tidak ada fungsi
sangat dalam keputusan DBKL, jadi apabila kita ambil alih kita mahu mengimbangi
kuasa wakil rakyat dan membuka jalan bagi mereka bersama-sama melontarkan
idea,” katanya..
Khalid berkata usaha itu juga sekali gus dapat
membawa suara rakyat di bawah kawasan Parlimen masing-masing termasuk isu
seperti kesesakan lalu lintas, rumah mampu milik, kebersihan dan laluan pejalan
kaki di kawasan Kuala Lumpur.
- Bernama


