Foto Malay Mail
Exco Kerajaan Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong, yang
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol, tetap
mahu meneruskan tugas walaupun
dinasihatkan supaya bercuti.
Yong berkata beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi
Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan
Islam dan Kampung Baharu Perak serta belum dijatuhkan hukuman.
Loading...
“Saya tidak buat apa-apa. Saya masih lagi Exco Kerajaan
Negeri dan saya akan berkhidmat untuk rakyat yang memberi mandat kepada saya.
“Mengapa saya perlu bercuti? Saya belum dijatuhkan hukuman,”
katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding kesnya di sini.
Yong, 49, sebelum itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan
merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berusia 23 tahun, mengikut Seksyen
376 Kanun Keseksaan.
Semalam Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu
berkata Yong dinasihatkan bercuti daripada tugas rasmi termasuk tidak mengambil
bahagian dalam sebarang mesyuarat yang melibatkan proses membuat keputusan bagi
menghormati proses undang-undang. — Bernama


