Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali,
dianugerah gelaran “Ibu Negara” oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia
(Asli) di majlis Makan Malam Gala sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan di
sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.
Pengerusi Asli dan Pengasas Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey
Cheah (JCF), Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata anugerah itu adalah sebagai
pengiktirafan kepada pengorbanan tidak terhingga Dr Siti Hasmah dalam memberi
sokongan penuh kepada suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjuangan Perdana
Menteri membina negara.
Loading...
“Beliau adalah ikon yang memberi inspirasi kepada kita semua
untuk meraikan kepelbagaian kita sebagai sebuah negara yang berbilang budaya,
berbilang kaum dan berbilang agama.
“Nilai dan karekter Tun Dr Siti Hasmah mencerminkan sikapnya
yang baik dan penyayang, yang merupakan ciri-ciri utama kepimpinan sebenar.
Beliau bermula dengan memecahkan tradisi dengan menjadi sebagai salah seorang
doktor Melayu pertama di negara ini.
“Tun Dr Siti Hasmah turut meraih pengiktirafan global
terhadap bantahan kerasnya kepada peperangan, dan juga rayuannya bagi mendapat
simpati kemanusian bagi pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam
ucapan beliau di majlis itu.
Cheah berkata Dr Siti Hasmah berjaya memenangi kasih sayang,
rasa hormat dan kekaguman semua rakyat Malaysia dengan pesona serta
keanggunannya, dan juga kebijaksanaan dan ketenangannya.
Di majlis itu JCF turut melancarkan Biasiswa Tun Dr Siti
Hasmah Mohd Ali untuk Seni Kreatif dan Muzik, dan menyumbang RM10 juta kepada
dana itu.
Cheah menyampaikan anugerah itu kepada Dr Siti Hasmah dengan
disaksikan oleh Dr Mahathir, dan juga Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Asli Tan
Sri Razman Hashim.
Sementara itu Dr Siti Hasmah dalam ucapan ringkasnya merujuk
kejayaan yang diraih itu kepada hasil sumbangan ibu bapa, abang serta kakaknya.
“Saya sebenarnya ingin berkongsi detik bermakna ini dengan
arwah ibu bapa, abang dan kakak saya, kerana mereka mencorakkan diri saya
seperti sekarang, benar-benar berharap mereka dapat melihat saya berdiri di
sini menerima anugerah berprestij ini, pastinya ia sesuatu yang amat hebat bagi
mereka..,” katanya dalam nada yang penuh emosi.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Cheah yang
mewujudkan biasiswa berkenaan.
“Usia bukan penghalang kepada sesiapa jua yang ingin belajar
muzik, dan muzik adalah seni yang amat berharga kepada semua. Bagi saya
mempelajari muzik adalah salah satu cara untuk anda mengurangkan stress,”
katanya. — Bernama


