Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH), akan dilaksanakan mulai
28 Ogos ini, melibatkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan
sebanyak RM1.23 bilion, kata Kementerian Kewangan.
Katanya pembayaran
akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing, menggunakan maklumat akaun
bank semasa pembayaran fasa kedua BSH.
Loading...
Menurut kementerian
itu dalam satu kenyataan hari ini, sejumlah RM2.85 bilion telah disalurkan bagi
bayaran fasa pertama pada Januari, dan fasa kedua pada Mei kepada isi rumah
yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap
orang anak tanggungan terhad kepada maksima empat orang anak.
Anak tanggungan
merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah, dan juga anak orang kurang
upaya (OKU) tanpa had umur, katanya.
Katanya bagi
memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak,
tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos, dan pembayaran
bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka akan dibuat pada September ini.
Sekiranya terdapat
sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747
serta e-mel kepada bsh@treasury.gov.my.
BSH adalah program
kerajaan demi kesejahteraan ekonomi rakyat, dengan membantu golongan
berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka. - Bernama


