Seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes
kematian Syed Muhammad Danial Syed Shakir pada 10 Ogos lepas akan didakwa di
Mahkamah Kajang, dekat sini esok.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Ab Rashid Ab Wahab
berkata individu berumur awal 40-an berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302
Kanun Keseksaan.
Loading...
Dalam kejadian tersebut, Syed Muhammad Danial, 29,
dilaporkan maut akibat dilanggar kenderaan yang sebelum itu terlibat dalam
kemalangan kecil dengan keretanya, berhampiran Plaza Tol Sungai Besi dengan
kedua-dua kenderaan berhenti dekat persimpangan Bandar Baru Bangi, selepas
kejadian kejar-mengejar antara satu sama lain.
Sebelum kejadian berkenaan, kedua-dua pemandu itu dikatakan
terlibat dalam pergaduhan dan dileraikan pengguna lebuh raya lain, sebelum
mangsa yang keluar semula daripada kenderaannya dilanggar, dan tersepit antara
kenderaan dengan penghadang jalan.
Susulan itu, polis menahan reman sepasang suami isteri bagi
membantu siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua mereka direman tujuh hari sehingga Sabtu lepas
namun hanya suspek lelaki disambung reman berakhir hari ini dan suspek wanita
dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada Isnin lepas, kertas siasatan berhubung kes itu telah
diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut. — Bernama


