Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menamakan
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan 40 pihak lagi dalam
permohonan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM700,000 yang disimpan
dalam akaun bank atas nama Umno Bahagian
Pekan yang didakwa mempunyai kaitan dengan dana 1Malaysia Development Bhd
(1MDB).
Dalam permohonan itu Pendakwa Raya yang merupakan pemohon
menamakan 41 pihak sebagai responden. Umno Bahagian Pekan dinamakan sebagai
responden pertama manakala Najib responden keempat dan anaknya Datuk Muhamed
Nizar yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, sebagai responden
kelapan.
Loading...
Pendakwa Raya memfailkan notis usul dipinda berhubung
permohonan lucut hak itu pada 4 September lepas selepas Hakim Mahkamah Tinggi
Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada 30 Ogos lepas memerintahkan Pendakwa Raya meminda
nama Umno Bahagian Pekan kepada nama pemegang jawatan dalam notis berkenaan.
Sebelum ini Pendakwa Raya hanya menamakan Umno Bahagian
Pekan sebagai responden tunggal dalam notis usul itu.
Umno Bahagian Pekan kemudiannya membantah notis usul itu
atas alasan pendakwaan telah menamakan pihak yang salah dan memohon membatalkan
notis usul lucut hak terhadap wang berkenaan yang dibekukan.
Mengikut notis usul terpinda itu Pendakwa Raya memohon untuk
melucut hak wang itu yang disimpan dalam akaun bank semasa CIMB Bank atas nama
Umno Bahagian Pekan dan semua faedah daripada simpanan itu kepada Kerajaan
Malaysia.
Pemohon juga memohon untuk menyiarkan notis bagi memanggil
mana-mana pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu untuk tampil
ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta
berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak kepada kerajaan.
Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Pendakwa
Raya yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai dari SPRM untuk
menyiarkan notis pihak ketika itu dalam
tempoh dua bulan.
Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen
56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan
Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Antara responden yang hadir ke mahkamah hari ini ialah Naib
Ketua Umno Bahagian Pekan, Datuk Khairuddin Mahmud; Timbalan Ketua Umno
Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly dan Ketua Puteri Umno Bahagian Pekan
Sida Tantiana Sariat.
Najib, serta anaknya
Muhamed Nizar dan beberapa responden
lain bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini .
Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili semua responden
memohon supaya mahkamah menggantung prosiding pelucutan hak itu sementara
menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada 30 Ogos lepas yang
menolak permohonan Umno Bahagian Pekan,
selaku responden tunggal untuk
membatalkan notis lucut hak itu, selesai didengar di Mahkamah Rayuan.
“Anak guam saya telah mengarahkan pihak kami supaya membuat
permohonan menggantung prosiding lucut hak di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak membantah permohonan
peguam untuk merayu ke Mahkamah Rayuan tetapi membantah permohonan peguam untuk
menggantung prosiding di Mahkamah
Tinggi.
Mahkamah menetapkan 3 Oktober untuk mendengar permohonan
responden untuk menggantung prosiding dan 15 November bagi sebutan semula kes.
Dalam kes lain, Hakim Mohd Nazlan membenarkan perlucutan hak
harta iaitu wang milik Yayasan Tun Rahah dan Pengerusi Biro Pendidikan Umno
Pekan, Datuk Ibrahim Awang Ismail diserah kepada Kerajaan Malaysia.
Prosiding itu dijalankan dalam kamar Hakim Mohd Nazlan dan peguam Amin Othman yang mewakili Yayasan itu dan Ibrahim selaku
responden, memberitahu media bahawa jumlah wang yang terlibat tidak boleh
didedahkan.
Pada 23 Ogos lepas, kedua-dua responden telah bersetuju
harta itu dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan dan hari ini mahkamah
merekodkan penghakiman persetujuan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) Latheefa Koya pada sidang akhbarnya sebelum ini berkata, permohonan
perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula
dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di
mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank
bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. — Bernama


