Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menyifatkan orang
Melayu masih lagi malas bekerja dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa
asing.
Melalui satu catatan terbaru di laman blog chedet.cc,
Mahathir berkata keengganan orang Melayu bekerja mendorong jutaan rakyat asing
membanjiri Malaysia untuk mendapatkan kerja, lapor malaysiakini.
Loading...
"Jarak antara mereka dengan kaum lain yang bekerja kuat
dan berniaga menjadi semakin luas. Yang berlaku ialah yang sudah kaya menjadi
lebih kaya dan orang Melayu yang miskin menjadi lebih miskin. Ini sudah
ditakdir. Tak perlu buat apa-apa.
"Sepatutnya orang Melayu sedar terhadap apa yang
berlaku kepada mereka. Malangnya mereka tidak sedar. Sehingga sekarang pun
orang Melayu masih tidak sedar. Mereka masih enggan bekerja.
"Orang Melayu masih rela serah segala kerja kepada
orang asing. Dan orang asing pun membanjiri negara kita. Tujuh juta orang asing
masih berada di sini sekarang ini. Mereka bekerja. Apakah akan terjadi kepada
orang Melayu," tulis beliau, hari ini.
Jelasnya, apa yang berlaku terhadap bangsa Melayu sebelum
ini akan terus terjadi kerana orang Melayu tidak mahu berubah dan terus
ketinggalan.
Tambah Mahathir lagi, ada yang mendakwa bahawa orang Melayu
adalah tuan di negara ini.
"Tuan apa? Orang miskin, orang yang tidak ada
kebolehan, orang yang bergantung kepada belas kasihan orang lain,
tuankah," soal Mahathir.
Dalam pada itu, Mahathir berkata nasib orang Melayu
ditentukan oleh mereka sendiri dan memarahi orang lain tidak akan menyelesaikan
masalah.
Walaupun bilangan orang Melayu dikatakan bertambah, namun
jumlah besar orang yang miskin tidak dapat bersaing dengan jumlah kecil orang
yang kaya.
Sejak pemerintahan British lagi kata Mahathir orang Melayu
tidak gemar untuk melakukan kerja berat serta berniaga melainkan bekerja dengan
kerajaan sebagai kerani.
"British membuka ladang-ladang getah dan lombong bijih
timah. Yang anehnya tidak ada orang Melayu yang bekerja dalam ladang dan
lombong ini. Pekerja terdiri dari orang India dan Cina. Perniagaan kedai runcit
dan aneka jenis tukang-tukang semuanya terdiri dari orang Cina.
"Dimanakah orang Melayu? Mereka bekerja dalam sawah
padi mereka, dan ada sedikit yang menjadi nelayan. Sebilangan kecil dari mereka
bekerja dengan kerajaan sebagai kerani.
"Lebih kecil lagi ialah bilangan mereka yang memegang
jawatan tinggi dalam kerajaan. Mereka ini semua berbangga kerana dibayar gaji
tetap dan pencen," katanya lagi.
Jelas Mahathir yang tidak terdapat ialah orang Melayu yang
berniaga atau bekerja sebagai buruh kasar kerana orang Melayu memandang hina
bidang berkenaan.


