Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua
loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yaman, sudah pasti akan
memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Tun Dr Mahathir
Mohamad.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata di Malaysia, kerajaan
mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.
Loading...
"Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran
minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak
seluruh dunia.
Iklan
"Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri
subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai.
Bagi dia, orang dia tak merungut," katanya pada sidang media selepas
menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di Putrajaya hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada
kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan
pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian
serangan itu.
Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan
agensi berita SPA semalam, berkata Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua
loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yaman.
Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata serangan tersebut
menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang
membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.
Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu
mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.
Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais,
dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam
siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.
Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi
berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan
itu, Al-Masirah.
- Bernama


