Foto oleh The Star
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu
pengambilalihan Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) kepada 1MDB adalah
untuk menyembunyikan penyelewengan Najib Razak ke atas bon pinjaman Nota Jangka
Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion yang dimohon TIA.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB dan TIA Shahrol
Azral Ibrahim Halmi mendedahkan perkara itu semasa membacakan penyataan
saksinya setebal 270 muka surat pada hari ke-13 perbicaraan kes Najib
melibatkan dana 1MDB.
Loading...
"Berdasarkan apa yang saya tahu sekarang, saya yakin
bahawa dasar pengambilalihan TIA kepada 1MDB secara as is where is basis ini
adalah dirancangkan oleh Jho Low (Low Taek Jho) dengan restu daripada Najib
untuk menyembunyikan penyelewengan beliau semasa penerbitan bon IMTN RM5 bilion
dengan Jaminan Kerajaan yang dibuat pada Mei 2009," jelasnya.
Shahrol Azral, 49, juga berkata Jho Low mengarahkannya
menulis surat kepada Najib bagi memastikan 1MDB tidak perlu diaudit.
Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata Jho Low memintanya
menulis surat 1MDB bertarikh 11 Dis 2009 kepada bekas perdana menteri itu atas
alasan ia adalah permintaan Najib.
"Dalam surat ini, pihak 1MDB telah menyatakan berkenaan
'1MDB: Updates & Approvals' yang pihak TIA merujuk kepada keputusan dan kelulusan
oleh Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB yang bersetuju supaya hala tuju BOA mengenai
proses pengambilalihan TIA kepada 1MDB.
Saksi penting itu berkata beliau tidak terlibat dalam
perbincangan awal mengenai perkara itu tetapi percaya kandungan surat berkenaan
telah dibincangkan terlebih dahulu oleh Jho Low dan Najib.
loading...
"Ini berdasarkan satu dokumen talking points (tajuk
perbincangan) yang dihantar melalui e-mel oleh Jho Low kepada saya yang sudah
tidak ada dalam simpanan saya lagi.
Katanya surat berkenaan turut dilampirkan kepada Ambrin
Buang (Ketua Audit Negara), Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (Ketua Setiausaha
Perbendaharaan) dan Che Lodin Wok Kamaruddin (Pengerusi Lembaga Pengarah).
Shahrol Azral juga mengesahkan beliau telah menerima surat
1MDB itu daripada Najib bertarikh 22 Dis 2009.
"Di dalam surat itu menyatakan Najib mengambil maklum
bahawa Lembaga Penasihat 1MDB bersetuju supaya pemersekutuan TIA seperti yang
telah diluluskan oleh Jemaah Menteri kepada 1MDB dilakukan atas dasar as is
where is dan tiada keperluan bagi audit dan due diligence dilaksanakan oleh
Ketua Audit Negara kerana pemindahmilikan saham telah pun sempurna.
"Najib juga bersetuju dengan keputusan Lembaga Pengarah
1MDB iaitu 1MDB sebagai sebuah syarikat diperbadankan mengikut Akta Syarikat
1965 mesti diaudit oleh juruaudit profesional luar lantikan Lembaga Pengarah
dan keperluan bagi Ketua Audit Negara mengaudit 1MDB tidak timbul sama
sekali," katanya.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
Kuala Lumpur antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.
Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence
Sequerah.
- Bernama