Kerajaan melalui syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC)
sedang giat mengambil tindakan sivil untuk mendapatkan semula dana RM4 bilion
yang dipinjam SRC daripada Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataan hari ini
berkata kerajaan sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memperoleh semula
seberapa banyak daripada RM4 bilion dana tersebut.
Loading...
"Kerajaan melalui SRC sedang giat mengambil tindakan
sivil untuk tujuan tersebut dan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan
untuk menjejak wang berkenaan, selain bekerjasama dengan penasihat
undang-undang untuk menentukan tindakan sivil yang boleh diambil bagi
mendapatkan kembali aset SRC.
"Segala dana yang dapat dikembalikan kepada SRC dalam
usaha di atas akan digunakan untuk membayar balik pinjaman KWAP," katanya.
Menurut Lim, langkah-langkah untuk mengembalikan wang itu
tidak termasuk sebahagian dana SRC berjumlah RM42 juta yang didakwa telah
diselewengkan dari SRC, merupakan perkara subjek tujuh pertuduhan jenayah yang
masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Lim berkata langkah ini akan mengurangkan beban kerajaan
untuk membayar balik pinjaman tersebut bagi pihak SRC, dan menambah peruntukan
untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan rakyat.
SRC ialah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB)
sebelum ia diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada 2012, dan beban
kewangannya (SRC) kini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.
Daripada dana RM4 bilion yang dipinjam, sebanyak RM3.6 bilion
(AS$1.1 bilion) dipindahkan melalui beberapa anak syarikat luar pesisir kepada
beberapa entiti dan bank di luar Malaysia, termasuk BSI Bank di Switzerland
(lebih AS$800 juta), Bank Julius Baer & Co Ltd di Hong Kong (AS$250 juta)
dan sebuah syarikat eksplorasi arang batu di Mongolia (AS$ 60 juta).
- Bernama


