Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan perbicaraan kes
Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dihentikan pada pukul 11.30 pagi bagi membolehkan bekas perdana menteri itu
berjumpa doktor pakar berhubung masalah matanya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas
membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili
Najib supaya perbicaraan yang masuk hari kesembilan dihentikan lebih awal pada
prosiding pagi yang biasanya akan tamat pada pukul 1 tengah hari.
Loading...
Hakim Sequerah mengarahkan perbicaraan bersambung semula
pada pukul 2 petang.
Terdahulu Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa
masalah sakit mata yang dihadapi anak guamnya mungkin disebabkan keadaan jerebu
ketika ini.
“Saya memohon mahkamah membenarkan anak guam saya berjumpa
doktor untuk pemeriksaan susulan matanya. Simptomnya sama ketika beliau
mengalami konjunktivitis. Saya syak ia disebabkan jerebu.
“Beliau perlu menghadiri temu janji di klinik mata kira-kira
jam 11 pagi ini,” katanya.
Muhammad Shafee berkata selain mata berair, anak guamnya
turut berdepan masalah hidung berair dan beliau perlu berjumpa doktor bagi
mengelakkannya menjadi lebih teruk.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri
Ram mencadangkan agar pemeriksaan balas terhadap saksi kesembilan dilakukan
tanpa kehadiran Najib tetapi Muhammad Shafee menjawab bahawa kehadiran anak
guamnya diperlukan semasa prosiding mahkamah seperti di negara-negara Komanwel
tidak ada peraturan di mana kehadiran tertuduh boleh diketepikan.
Mahkamah kemudian meneruskan dengan mendengar keterangan
daripada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin yang disoal
balas Muhammad Shafee.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan
21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan
rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di
sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan
pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama. — Bernama


