Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa China
State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State
Council (SASAC) dan China State-Owned Enterprises (SOE) akan memuktamadkan
perjanjian untuk menyelesaikan isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dan anak syarikatnya, SRC Iternational Sdn Bhd sebelum akhir Julai atau Ogos
2016.
Saksi penting pendakwaan, Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43,
berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat yang diadakan di China pada 28
Jun 2016 dengan pihak SASAC.
Loading...
Beliau berkata demikian ketika dirujuk dengan laporan
mesyuarat yang diadakan di negara itu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram
Gharib pada hari keempat perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa
atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan
berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram
membabitkan jumlah wang sama.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata, dalam mesyuarat
tersebut perkara yang dibincangkan adalah mengenai hutang 1MDB dan SRC.
"Secara keseluruhannya, mesyuarat ini membincangkan
perjanjian usahasama perdagangan antara China dan Malaysia membabitkan
pengukuhan hubungan penting dan utama kepada SASAC untuk bekerjasama dengan
Malaysia.
"Antara perkara yang penting dibincangkan adalah
seperti perlunya sokongan padu terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi mengekalkan
kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.
"Kandungan dokumen ini pernah saya laporkan kepada
Najib tetapi saya tidak ingat bila. Namun saya tidak mengambil tindakan lanjut
dan hanya menunggu arahan daripada Jho sahaja (ahli perniagaan dalam buruan,
Low Taek Jho atau Jho Low).
Merujuk kepada sebuah dokumen laporan minit mesyuarat di
China pada 28 dan 29 Jun 2016 serta di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada 30
Jun tahun sama, saksi itu mengesahkan dokumen itu menceritakan butiran
perancangan Jho Low supaya memberikan peranan sebagai koordinator keseluruhan
1MDB dan SRC program penyelesaian hutang kepada ahli lembaga pengarah 1MDB
ketika itu yang juga sekutu Jho Low, Terence Geh.
"Dokumen yang dirujuk ini saya boleh rumuskan sebagai
lanjutan daripada lawatan peribadi saya ke China pada 28 Jun 2016 seperti telah
saya nyatakan sebelum ini projek-projek yang dicadangkan tersebut adalah untuk
menyelamatkan 1MDB.
"Terence juga dipertanggungjawabkan untuk
mengkoordinasi hasil lawatan ke China kepada saya serta memaklumkan
perkembangan program (program penyelesaian hutang) ini dari semasa ke semasa
kepada saya," katanya.
Terence ketika itu memegang jawatan sebagai sekretariat
Malaysia-China Strategic High Impact Economic Committee (MCSHIEC) dan berada di
bawah seliaan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (Menteri yang dipertanggungjawabkan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd
Irwan Serigar.
“Projek yang dimaksudkan adalah Saluran Paip Pelbagai Produk
(MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),”
katanya semasa membacakan penyataan saksi setebal 77 muka surat itu.
Esok pasukan peguam yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee
Abdullah akan memeriksa balas saksi itu selepas beliau selesai memberikan
keterangan pada pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung 9.30 pagi esok. - Bernama


