Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak
memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menyediakan
laporan berhubung lawatannya ke China pada bulan Jun 2016 untuk Najib, tetapi ahli
perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang menyediakannya.
Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata, laporan
bertajuk "Update On China-Malaysia Economic Program: 18 July 2016"
(Laporan Kemas Kini Mengenai Program Ekonomi China-Malaysia 18 Julai 2016) itu
telah dikongsikan dengan Najib dan beliau memaklumkan maklumat yang kemas kini
kepada bekas Perdana Menteri itu sebaik pulang daripada mesyuarat itu kerana
beliau dihantar secara peribadi sebagai wakil khas kepada Najib.
Loading...
Beliau berkata demikian ketika diperiksa balas oleh ketua
peguam bela Najib Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada hari kesembilan
perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berhubung kes 1Malaysia Development
Berhad (1MDB).
Saksi pendakwaan kelapan itu, dalam keterangannya sebelum
ini, memberitahu mahkamah yang beliau telah menerima dokumen sama ada daripada
Jho Low menerusi e-mel secara peribadi atau daripada bekas pengarah 1MDB
Terence Geh.
Muhammad Shafee: Kamu tidak tulis nama kamu atau nama Jho
Low. Tiada nama pengarang bagi laporan itu?
Amhari Efendi: Tiada.
Muhammad Shafee: Kenapa begitu?
Amhari Efendi: Sebab sudah jelas hanya ada tiga orang kami
(dia sendiri, Jho Low, Terence) terlibat dalam misi berkenaan... jadi adalah
jelas ia datangnya daripada Jho Low. Datuk Seri Najib tahu.
Muhammad Shafee: Kamu kata dokumen ini datang daripada Jho
Low. Bagaimana kamu memperolehnya?
Amhari Efendi: Melalui e-mel.
Muhammad Shafee: Kamu mendakwa secara lisan bahawa kamu
telah menunjukkan dokumen itu kepada PM dan ia telah disediakan oleh Jho Low.
Dia (Najib) telah menghantar kamu ke China sebagai wakil khas dia, adakah kamu
mengatakan kamu tidak menyediakan apa-apa laporan.
Amhari Efendi: Betul.
Muhammad Shafee: Adakah kamu meminta dia (PM) untuk
membacanya?
Amhari Efendi: Saya telah menjelaskan kepada dia bahagian
pertamanya di mana terdapat di dalamnya cadangan supaya ditukar lembaga sektor
daripada sektor swasta kepada sektor awam berhubung beberapa projek yang telah
dibincangkan semasa lawatan ke China itu.
Muhammad Shafee: Kamu berikan Najib salinan ini?
Amhari Efendi: Saya memberinya satu salinan, kemudiannya
saya percaya dia telah memulangkannya semula kepada saya.
Mahkamah turut diberitahu bahawa maklumat daripada Amhari
Efendi menjadi sebab kanapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menyerbu kediaman Low di Jalan Kia Peng, di mana dia ditangkap oleh SPRM pada
satu masa pada bulan Syawal (Hari Raya Aidilfitri) pada 2018, selepas Pilihan
Raya Umum ke-14.
Sambil cuba mengingati kembali peristiwa itu, saksi penting
itu berkata beliau telah pergi untuk menghadiri satu mesyuarat di umah Jho Low
berhubung Terengganu Investment Authority (TIA) pada lewat 2008 atau awal 2009.
Muhammad Shafee: Kamu tahu di mana rumahnya sebelum itu?
Amhari Efendi: Tidak.
Muhammad Shafee: Adakah ia apartment Number 3 Kia Peng atau
Apartment number 3, Kia Peng?
Amhari Efendi: Saya fikir nama apartmen itu Number 3 Kia
Peng.
Muhammad Shafee: Nombor rumah yang betul pun kamu tidak
boleh ingat tetapi kamu membawa SPRM ke sana?
Amhari Efendi: Saya mendedahkan mengenai lukisan pada papan
putih di rumah Jho Low di Kia Peng.
Saksi itu berkata dia telah berkunjung rumah Jho Low dua
kali dan telah dibawa ke ruang dapur rumah itu di mana di situ terdapat papan
putih yang digunakan oleh Jho Low dalam perbincangan mengenai TIA.
“Saya ditahan oleh SPRM tidak lama selepas balik dari
lawatan ke Thailand dan Kemboja bersama keluarga saya pada Julai tahun lepas,”
tambah beliau.
Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee
bahawa papan putih itu adalah luar biasa kerana ia boleh mencetak secara
langsung lakaran daripada papan putih itu dengan hanya menekan butang.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menyalahgunakan
kedudukannya untuk menerima rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB
dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berhubung wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan MP itu didakwa melakukan keempat-empat
kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan branch,
Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, dan 21
pertuduhan antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung esok. - Bernama


