Masalah kemiskinan yang membelenggu golongan pesawah padi
akan hanya dapat diatasi jika mereka bersedia menerima kaedah menggabungkan
tanah sawah mereka untuk diusahakan sebagai estet perladangan, kata Tun Dr
Mahathir Mohamad hari ini.
Perdana menteri berkata mempelajari dari kejayaan
pengabungan tanah industri getah dan kelapa sawit, pemilik-pemilik tanah sawah
kelak akan dapat melaksanakan penanaman padi secara besar-besaran dengan
melibatkan kepakaran dan kemahiran pertanian.
Loading...
"Dengan pendekatan baharu yang dicadangkan oleh
kerajaan, kita percaya tenaga mahir dan terlatih boleh sumbang kepada industri
padi dan menghapuskan kemiskinan," katanya semasa berucap merasmikan
Konvensyen Padi Kebangsaan di sini.
Menurutnya pendekatan baharu itu akan turut melibatkan
penggunaan jentera moden selain memaksimumkan guna tanah dengan memperuntukan
sebahagian kawasan untuk penanaman sayur-sayuran dan penternakan haiwan.
"Jika cara ini diterima, saya yakin pesawah tidak akan
lagi kekal dalam kemiskinan. Hari ini kita mengimport (makanan) RM60 billion.
Dengan menggunakan teknik moden, tanah yang luas tidak diperlukan… hasilnya
tetap lebih banyak dan akan dapat menggantikan sayur-sayuran yang
diimport," katanya.
Dr Mahathir berkata hala tuju industri padi negara bukan
hanya semata-mata untuk menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan golongan
pesawah tetapi juga untuk memastikan golongan ini akan dapat terus membekalkan
makanan ruji ini dan menyelamatkan rakyat daripada bahaya kekurangan makanan.
Katanya golongan ini perlu memiliki sikap menggunakan ilmu
mereka untuk meningkatkan pendapatan bagi melepaskan diri dari belenggu
kemiskinan dan menganggap usaha ini sebagai satu tuntutan agama yang perlu
dipenuhi.
“Menanam padi, membekal makanan, menyelamat kita daripada
bahaya kekurangan makanan adalah satu ibadat juga. Bagi orang Islam, inilah
ibadat yang perlu kita utamakan,” katanya.
Beliau turut meminta golongan pesawah untuk meninggalkan
sikap terlalu bergantung kepada subsidi dari kerajaan dengan menggantikannya
dengan sifat ingin memperbaiki keadaan hidup mereka supaya menjadi lebih baik
lagi.
“Kita boleh salahkan orang lain kerana kemiskinan kita
tetapi mereka (orang lain) tidak akan berusaha untuk mengubah nasib kita.
Sebaliknya kita berkuasa ke atas diri kita dan boleh mengubah cara kita dari
yang buruk kepada yang baik,” katanya. - Bernama


