Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis
mempersoal bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan Pas yang menuduh parti yang
pernah dipimpinnya sebagai kafir sebelum ini.
"Saya tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama
dengan Pas kerana UMNO padanya (Pas) kafir," katanya pada sidang media
sebaik selesai menghadiri Program The Putrajaya Boat Race 2019 di Kelab Tasik
Putrajaya di sini hari ini.
Loading...
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kerjasama
UMNO dan Pas yang dimeterai secara rasmi oleh kedua-dua parti itu semalam di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam, lapor Sinar Harian.
Ditanya lebih lanjut mengenai permuafakatan kedua-dua parti
Melayu terbesar negara yang pernah menjadi seteru itu dikatakan bukan bersifat
perkauman dan agama, Dr Mahathir berkata, ia terpulang kepada niat sebenar.
“Terpulanglah kepada mereka (Pas-UMNO) untuk mengatakan
jalinan kerjasama ini tidak berkaitan dengan agama atau perkauman.
"Jika anda di sana untuk mencetus rasa perkauman, itu
salah," katanya.
Semalam, PWTC melakar sejarah apabila menjadi lokasi
berlangsungnya majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional sempena Himpunan
Perpaduan Ummah (HPU) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut disaksikan ribuan ahli
kedua-dua parti selain para pemerhati.
Intipati yang terkandung dalam piagam itu juga turut
bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu
tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada
kestabilan politik, keharmonian kaum di negara ini.


