Umno dan PAS perlu menjadi pembangkang berwibawa, kata Naib
Presiden PKR Rafizi Ramli.
Beliau berkata, bagaimanapun, blok pembangkang itu yang
dilihat sangat yakin untuk merampas tampuk pemerintahan negara, hanya
mengapi-apikan sentimen perkauman di sebalik menyumbangkan kaedah serta dasar
bernas, untuk membela nasib rakyat.
Loading...
“Kebelakangan ini Umno semakin galak meniupkan api
perkauman. Umno dan PAS sangat yakin mereka boleh merampas tampuk pemerintahan
negara dengan helah membuatkan orang Melayu membenci kaum lain, terutamanya
Cina,” katanya dalam catatan di Facebook beliau baru-baru ini.
Rafizi menegaskan seharusnya pembangkang berwibawa menolak
rasuah dan menjadi polis mengawasi kerajaan, selain memerah otak mencadangkan
kaedah dan dasar yang lebih baik daripada yang dilaksanakan kerajaan untuk
membela rakyat.
UMNO dan PAS dijadual untuk memuktamadkan kerjasama antara
kedua-dua parti, melalui pemeteraian piagam dan memorandum persefahaman yang
akan ditandatangani presiden kedua-dua parti berkenaan pada Sabtu ini, sebagai
kata sepakat untuk bekerjasama antara satu dengan lain, dalam mengharungi
cabaran arus perdana politik tanah air. ― Bernama


