Malaysia tidak boleh menerima tindakan Israel yang
terang-terang merampas bumi Palestin secara zalim untuk mendirikan penempatan
mereka serta pendudukan Baitulmaqdis oleh rejim zionis, kata Perdana Menteri Dr
Mahathir Mohamad.
Beliau menarik perhatian mengenai nasib malang rakyat
Palestin yang langsung tidak dapat memasuki penempatan yang dibina di atas
tanah mereka.
Loading...
Malaysia, katanya, menerima negara Israel sebagai ketentuan
yang harus diterima tetapi menegaskan bahawa disebabkan tindakan Israel, kini
terdapat sikap prasangka terhadap agama Islam dan umat Islam.
"Umat Islam dituduh melakukan keganasan walaupun mereka
tidak berbuat demikian. Negara Islam mengalami ketidakstabilan melalui kempen
untuk mengubah demokrasi dan pertukaran rejim. Umat Islam di mana-mana
ditindas, diusir dari negara mereka dan dinafikan hak suaka," katanya.
Dr Mahathir berkata demikian dalam pernyataan semasa
Perbahasan Umum pada Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNGA) pada Jumaat.
Beliau berkata, sesiapa tidak boleh menafikan bahawa pada
masa lalu tiada migrasi berskala besar tetapi kini peperangan dan
ketidakstabilan akibat perubahan rejim telah memaksa mereka melarikan diri dari
negara asal mereka.
Dr Mahathir menegaskan bahawa peralihan semalaman kepada
demokrasi menyebabkan ketidakstabilan dan perang saudara, sehingga beberapa
negara kehilangan kuasa kerajaan, sementara yang lain kembali kepada rejim
autoritarian yang lebih buruk daripada yang digantikan.
loading...
Oleh kerana menderita akibat peperangan dan keganasan,
rakyat negara itu berpindah ke negara lain, kata beliau.
"Negara yang kononnya memperjuangkan prinsip demokrat
membicarakan tentang kedaulatan undang-undang tetapi mereka bersikap pilih
kasih. Rakan boleh melanggar mana-mana undang-undang dan terlepas begitu sahaja
daripada hukuman.
"Justeru, Israel boleh mencabuli semua undang-undang
dan norma antarabangsa di dunia dan ia akan terus disokong dan dipertahankan.
Negara-negara tidak mesra tidak boleh melakukan sesuatu yang tidak betul. Tidak
ada keadilan di dunia," kata Dr Mahathir.
Beliau berkata perbuatan Israel merampas tanah Palestin dan
mengusir 90 peratus penduduk Arab telah mencetuskan peperangan di banyak
negara, kebanyakannya berkaitan dengan pembentukan negara Israel.
"Dan kini kita menghadapi ancaman keganasan sedangkan
tidak sebelum ini atau sekurang-kurangnya tidak ada pada skala sekarang.
Tindakan ketenteraan terhadap keganasan tidak akan berjaya. Kita perlu mengenal
pasti puncanya dan mengatasinya.
"Tetapi kuasa-kuasa besar enggan menangani puncanya.
Mereka lebih cenderung kepada tindakan ketenteraan dan sekatan, dan mereka akan
terus gagal mengekang keganasan," kata Dr Mahathir.
Sambil menyoroti nasib masyarakat Rohingya di Myanmar,
Perdana Menteri berkata bahawa ketidakupayaan dunia dalam menghentikan
kekejaman terhadap masyarakat etnik menyebabkan resolusi PBB kurang berkesan.
Akibatnya, mereka dipaksa berhijrah dan kini tidak berani
kembali ke Myanmar walaupun diberi tawaran kerana mereka tidak dapat
mempercayai tentera Myanmar melainkan ada beberapa bentuk perlindungan pihak
ketiga.
Beralih perhatian kepada isu Jammu dan Kashmir, perdana
menteri berkata walaupun ada resolusi PBB, wilayah itu telah ditawan dan
diduduki.
"Mungkin ada sebab untuk tindakan ini tetapi ia tetap
salah," katanya sambil menegaskan bahawa masalah itu harus diselesaikan
secara aman.
Sehubungan itu, beliau menyeru India untuk bekerjasama
dengan Pakistan bagi menyelesaikan isu tersebut, dengan memberi peringatan
bahawa ketidakpatuhan resolusi PBB akan menyebabkan pengabaian bentuk lain
kepada badan dunia itu.
- Bernama