Bandar Sri Aman secara rasminya dikenali sebagai Simanggang
bermula hari ini, umum Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun
Openg.
Beliau berkata Simanggang yang merupakan nama asal untuk
daerah Sri Aman itu sebelum ini, dipohon digunakan semula oleh Menteri Muda
Kesejahteraan dan Komuniti Datuk Francis Hardin yang juga Ahli Dewan Undangan
Negeri (Adun) Simanggang kepada Kabinet, baru-baru ini.
Loading...
“Selepas perbincangan, akhirnya kita bersetuju bandar ini
akan dinamakan Simanggang, bahagiannya masih dinamakan Sri Aman, jadi bermakna,
bandarnya Simanggang, seluruh bahagiannya nama Sri Aman,” katanya dalam
ucapannya sebelum merasmikan Pesta Benak Sri Aman 2019, di Sri Aman, hari ini.
Beliau berkata permintaan itu adalah rasional bagi
membolehkan generasi baharu mengenali sejarah asal kawasan berkenaan.
“Sri Aman memang ada sejarah…Sri Aman ada perjanjian di mana
kita telah mendapat keadaan begitu aman dengan penyerahan sidak (mereka) yang
agak ekstrem, sosialis ataupun yang mempunyai mirip-mirip komunis, mereka
menyerah diri, jadi negeri aman kita dapat bangunkan negeri kita, jadi Sri
Aman, itu sejarahnya.
“Tetapi ada juga orang Sri Aman mengatakan di sini ada
sejarah sebelum Sri Aman iaitu Simanggang. Kalau boleh carikan (letakkan) nama
ini supaya generasi baharu tahu, sini Simanggang, kerana dalam sejarah memang
ada Simanggang, jadi bagi mengingatkan orang di sini mengenai nama Simanggang,”
katanya.
loading...
Simanggang ditukar nama ke Sri Aman pada 1974 sempena
Perjanjian Damai Sri Aman yang ditandatangani pada tahun yang sama yang
menandakan tamatnya pergerakan bersenjata komunis di Sarawak.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Menteri Sarawak
ketika itu, Tun Abdul Rahman Yakub dan pemimpin Pertubuhan Komunis Sarawak,
Bong Kee Chok.
Sebelum perjanjian itu ditandatangani, beberapa siri
rundingan damai diadakan di Simanggang.
Sementara itu, mengenai perancangan untuk Sri Aman, Abang Johari
yakin dengan pelbagai projek infrastruktur termasuk jalan persisiran, Lebuhraya
Pan Borneo, dan pelan pembinaan dua jambatan baharu menghubungkannya dengan
Batang Lupar, daerah ini akan menjadi satu lokasi strategik yang memudahkan
akses ke bahagian lain, seterusnya memberi impak positif kepada pembangunan di
sini.
Beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah dewan sivik baharu
untuk daerah Sri Aman dengan peruntukan akan disalur melalui Rancangan Malaysia
ke-12.
- Bernama


