Malaysia akan membuka kedutaan untuk Palestin bagi
membolehkannya memberi bantuan kepada rakyat Palestin dengan lebih mudah, kata
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Baku, Azerbaijan.
Kedutaan itu akan ditempatkan di Jordan, katanya ketika
menyampaikan ucapan kepada para pemimpin dan wakil dari 120 negara anggota
Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) pada sidang kemuncak NAM ke-18.
Loading...
"Kami tahu Israel tidak akan membenarkan Malaysia membuka
kedutaan di wilayah yang diduduki. Oleh itu kami akan membuka kedutaan di
Jordan," kata Dr Mahathir.
Perdana Menteri berusia 94 tahun itu berkata pembukaan
kedutaan itu akan membolehkan Malaysia menyalurkan bantuan kepada rakyat
Palestin lebih mudah, walaupun beliau mengakui bahawa Israel akan mencari jalan
untuk memastikan tidak ada bantuan yang akan sampai ke Palestin.
"Saya juga ingin membawa sidang kemuncak itu untuk
mengenang nasib malang saudara-saudara Palestin kita. Palestin masih diduduki
oleh rejim yang kejam. Rejim ini terus memperluas penempatan haram di tanah
yang dimiliki oleh rakyat Palestin," kata beliau.
Beliau berkata komuniti antarabangsa tidak berbuat apa-apa
dan tidak dapat mengambil apa-apa tindakan walaupun Israel terus mendera
Palestin.
loading...
"Malang sekali apabila pertubuhan dunia yang ditubuhkan
oleh negara yang cukup berkuasa, kini menyaksikan bahawa mereka sendiri tidak
mengendahkan resolusi yang dihasilkan badan dunia itu. Kini kita lihat
negara-negara lain turut berbuat demikian,” tambahnya.
Beliau berkata Israel telah mengumumkan hasratnya untuk
menduduki bahagian-bahagian di Tebing Barat - langkah yang jelas melanggar
undang-undang antarabangsa, di samping menuntut Baitulmuqaddis sebagai ibu
negaranya.
“Banyak negara-negara barat menyokong langkah ini dengan
memindahkan, atau menetapkan untuk memindahkan kedutaan mereka ke sana,
Malaysia tidak bersetuju dengan perkara ini,” katanya.
Dr Mahathir turut mengambil kesempatan untuk menggesa
negara-negara anggota NAM yang telah berpindah ke Baitulmuqaddis atau merancang
untuk berpindah ke sana, supaya mengkaji semula keputusan itu.
Ketika ini terdapat lebih 30 pejabat diplomat dan pertubuhan
antarabangsa di Ramallah serta Gaza di kawasan Palestin, dan Palestin pula ketika
ini mempunyai pejabat kedutaan di Kuala Lumpur, manakala Duta Besar Malaysia ke
Mesir adalah khusus buat Palestin.
Dalam ucapan di Pertubuhasn Bangsa-bangsa Bersatu bulan
lepas, Dr Mahathir berkata Malaysia tidak dapat menerima rampasan tanah
Palestin secara terang-terangan oleh Israel untuk membina penempatan mereka,
dan juga pendudukan Baitulmuqaddis oleh Israel.
Malaysia, katanya menerima pembentukan negara Israel sebagai
“fait accompli’ atau sesuatu yang telah berlaku, namun menegaskan bahawa pembentukan
itu mewujudkan permusuhan terhadap kaum muslim dan juga Islam.
- Bernama


