Foto TMI
Pihak yang ghairah mahu berkuasa dengan mengubah pentadbiran
kerajaan lebih awal dari lima tahun, disifatkan sebagai cuba menubuhkan
kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,
menegaskan rakyat menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk
mentadbir kerajaan bagi tempoh lima tahun pada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14).
Loading...
“Jadi kalau ada pihak yang nak mengubah pentadbiran kerajaan
lebih awal daripada itu, dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan
pintu belakang.
“Sepatutnya biarlah Tun Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai
Perdana Menteri sehingga selesai tempoh penggal ini kerana itu mandat diberikan
rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini, lpaor Berita Harian.
loading...
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan
beberapa portal berita yang turut mengaitkan namanya sebagai antara individu
yang berusaha mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara
(AMANAH).
Turut dikaitkan adalah bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein disebut sebagai mengetuai kempen berkenaan tetapi beliau
menafikannya.
Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
dilaporkan membayangkan akan mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada
Dr Mahathir sekitar tahun depan, iaitu dua tahun selepas Pakatan Harapan (PH).
Anwar turut dilaporkan berkata, wujud perjanjian bertulis
menyatakan beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Dr
Mahathir, yang dipersetujui semua parti komponen PH dan dinyatakan kepada umum
sebelum PRU-14.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin menyifatkan pihak yang
mengaitkannya untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang adalah kenyataan
kumpulan yang terdesak dan ghairah mahu berkuasa.
Ahli Parlimen Gombak itu turut menegaskan perjanjian
peralihan kuasa Perdana Menteri itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa
ditetapkan sebarang tempoh.
“Saya cabar mana-mana individu menyatakan kepada umum bahawa
ada persetujuan dalam satu tempoh terdekat (untuk peralihan kuasa). Tidak ada,”
katanya.
“Jadi semua pihak dan media hentikan (isu peralihan kuasa)
kerana ini menjejaskan ekonomi negara. Terlalu banyak ketidaktentuan, pelabur
asing dan domestik bimbang ini berterusan.
“Saya harap kita hentikan perbincangan mengenai peralihan
kuasa, tumpu bangunkan ekonomi dan membantu rakyat serta beri sokongan padu
pada Dr Mahathir untuk terus memimpin kerana ini memberi jaminan kepada pelabur
bahawa politik Malaysia stabil, ekonomi Malaysia beralih ke landasan yang betul
dan mewujudkan pertumbuhan lebih baik, mewujudkan pekerjaan dan memberi
kemakmuran kepada semua,” katanya.


