Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertindak
terhadap pihak yang menerima dana 1MDB kurang daripada RM500,000 selepas ini,
iaitu pada fasa ketiga usaha suruhanjaya itu mendapatkan semula dana 1MDB.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata demikian ketika
ditanya pemberita berkenaan perkara itu dalam satu program bersama media di
Kajang, Selangor hari ini.
Loading...
"Kita akan pergi ke fasa ketiga. (sekarang) Ini fasa
kedua.
"Fasa pertama ialah proses pelucuthakan sivil, di mana
wang masih dalam akaun. Kita bekukan akaun mereka dan lakukan pelucuthakan.
"Fasa kedua...Kami secara asasnya meminta mereka (pihak
yang disenaraikan) untuk membayar denda, itu syarat minimum," katanya
lagi.
Pada 7 Oktober lalu, SPRM mengeluarkan notis kompaun
bernilai RM420 juta itu terhadap 80 individu dan entiti bagi mendapatkan semula
dana yang mengalir keluar daripada 1MDB.
loading...
Menurut SPRM, tindakan itu mengikut Seksyen 92 (1) Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil
daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Antara individu yang menerima notis itu ialah bekas
pengerusi kumpulan CIMB Nazir Razak, anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan dan
bekas Pengerusi Felda, Shahrir Samad, manakala antara entiti tersenarai pula
ialah Puteri Umno Malaysia, Badan Perhubungan Umno Perak dan Pulau Pinang, 15
Umno bahagian, MIC dan Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor.
Bagaimanapun Shahrir dilaporkan mempersoalkan mengapa bekas
ketua Puteri Umno yang telah menyertai Bersatu, Mas Ermieyati, tiada dalam
senarai itu, sedangkan menurutnya nama anggota parlimen Masjid Tanah itu
sebelum ini termasuk di kalangan pemimpin Umno yang menerima wang 1MDB.
Mengulas perkara itu, Latheefa kemudian berkata SPRM
bertindak secara berperingkat dan memberi tumpuan kepada pihak yang menerima
RM500,000 ke atas terlebih dahulu.
Hari ini Latheefa sekali lagi menegaskan senarai penerima
kompaun itu tidak dipengaruhi faktor politik.
"...Ada beratus yang terima (dana dari 1MDB), tetapi
kami ambil cut off RM500,000 ke atas, kami tumpu jumlah lebih besar terlebih
dulu...Bukan isu selektif atau bermotifkan politik," katanya.
Terdahulu, Nazir berkata beliau langsung tidak menggunakan
wang yang disalurkan itu dan bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM.
Ahmad Maslan pula menafikan ada menerima wang 1MDB.
Ditanya berkenaan penafian Ahmad Maslan, Latheefa enggan
mengulasnya tetapi berkata anggota parlimen Pontian itu perlu tampil ke depan
untuk menjelaskan dirinya.
"Kita beri mereka masa. Dalam notis sudah tulis dua
minggu lepas tarikh serahan, jadi kita tunggu mereka untuk tampil ke
depan," katanya. - Malaysiakini


