Mahkamah Tinggi di Kuala lumpur hari ini diberitahu ahli
perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, tidak pernah dibayar bagi
khidmatnya sebagai penasihat Terengganu Investment Authority Berhad (TIA).
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, bekas Ketua Pegawai
Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan TIA, berkata demikian semasa
pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili
Datuk Seri Najib Razak, pada hari ke-18 perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi
bekas perdana menteri itu.
Loading...
TIA dinamakan semula sebagai 1MDB pada September 2009.
Muhammad Shafee: Adakah Jho Low pernah dibayar bagi
khidmatnya dalam TIA?
Shahrol Azral: Tidak.
Muhammad Shafee: Jadi, Jho Low melakukan kerja pro bono
(tanpa bayaran) bagi TIA dan sebaliknya mengambil berbilion-bilion (ringgit)?
Kenapa ahli perniagaan ini meluangkan masa yang begitu banyak tetapi dia
langsung tidak mendapat bayaran?
Shahrol Azral: Ia bukanlah pro bono sebab dia menyatakan
bahawa dia mewakili Terengganu, pada peringkat awal, dan kemudiannya kerajaan
Persekutuan.
loading...
Muhammad Shafee: Tetapi dia tidak dibayar?
Shahrol Azral: Ya, dia tidak dibayar.
Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB
dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
bersambung.
- Bernama


