Kerajaan negeri Kelantan menafikan menerima pembayaran
royalti petroleum daripada Kerajaan Pusat, sebaliknya sebanyak RM15.7 juta yang
diterima pada 17 September lalu adalah wang ihsan.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata wang
ihsan dan pembayaran royalti adalah dua perkara berbeza dan apa yang
diperjuangkan oleh kerajaan negeri adalah pembayaran royalti petroleum.
Loading...
“Kenyataan itu (dari Menteri Kewangan, Lim Guan Eng) adalah
tidak benar dan mengelirukan rakyat. Apa yang dituntut adalah royalti minyak
dan gas, manakala apa yang diberi atau disalurkan adalah wang ihsan.
“Cuba rujuk kembali kepada kamus dewan antara makna royalti
dan ihsan. Saya nak maklum kepada ahli dewan dan rakyat yang saya hormati. Pada
17 September, kita terima sebanyak RM15,749,561.50, iaitu dalam tajuk
penyaluran wang ihsan kepada Kelantan bagi tahun 2019.
“Beza wang ihsan dan royalti terlampau jauh. Wang ihsan ini,
nak beri tak apa, tak nak beri pun tak apa. Namun royalti hak kita, dan
kewajipan hendaklah dibayar kepada kerajaan Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ketika menjawab soalan tambahan
yang dikemukakan Wan Hassan Wan Ibrahim (PAS-Semerak) pada Persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
loading...
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan
Hilmi Abdullah (PAS-Guchil) yang bertanyakan jumlah tunggakan royalti sehingga
kini, Ahmad berkata, bayaran royalti bergantung kepada hasil tahunan yang
diperolehi.
“Pada 2017 sepatutnya diperoleh oleh Kelantan sebanyak
RM1.03 bilion dan jumlah ini diperoleh daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri
Kelantan (UPEN).
“Bagaimanapun, untuk keseluruhan, saya memerlukan notis,”
katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan
pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sudah dibuat bulan lalu.
Katanya, beliau menandatangani pembayaran atas arahan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - BH Online


