Pemimpin DAP P Ramasamy mendapati pembelaan Perdana Menteri
Dr Mahathir Mohamad terhadap penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dalam penangkapan sejumlah individu yang
disyaki ada kaitan dengan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), sebagai pahit
untuk ditelan.
Beliau berkata ini kerana Pakatan Harapan (PH) pernah
berjanji untuk memansuhkan akta itu - serta beberapa lagi akta yang dianggap
zalim - dalam manifesto PRU ke-14 gabungan itu.
Loading...
"Saya mendapati kenyatan perdana menteri sukar
diterima.
"Pada PRU lalu, PH melawan BN bermati-matian
berdasarkan manifesto kami yang antara lain berjanji untuk memansuhkan
undang-undang zalim," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Menurut timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu, beliau
tidak mempersoalkan siasatan polis terhadap perkara itu tetapi berpandangan
tangkapan boleh dibuat mengikut Kanun Keseksaan.
"Saya yakin suspek boleh ditahan di bawah Kanun
Keseksaan. Polis mendakwa ada bukti yang cukup. Jadi dakwa suspek di mahkamah
dan benarkan mereka mendapat perwakilan undang-undang.
loading...
"Penggunaan Sosma boleh dianggap sebagai jalan mudah
oleh polis," katanya lagi.
Beliau turut berkata Mahathir sendiri pernah mengkritik
Sosma - yang membolehkan suspek ditahan tanpa bicara selama 28 hari - apabila
bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang ditahan di
bawah akta itu pada 2015.
"Ketika itu Mahathir sendiri kata dia mahu mansuh
Sosma."
Khairuddin ialah penyokong kuat Mahathir manakala Chang pernah
menjadi pembantunya ketika beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama.
Mereka ditahan atas dakwaan melakukan sabotaj ekonomi
selepas membuat sejumlah laporan terhadap skandal 1MDB.
Ramasamy mengulas kenyataan Mahathir hari ini bahawa polis
tiada pilihan selain menggunakan Sosma berikutan tiada undang-undang lain.
Mahathir juga berkata berpuas hati dengan penjelasan polis
berhubung tindakan mereka dalam siasatan itu.
Sejak minggu lalu, Unit Anti Keganasan Bukit Aman menahan 12
individu, termasuk dua adun DAP G Saminathan dan P Gunasekaran.
Mereka yang ditahan didakwa cuba menghidupkan semula
kumpulan yang telah 'mati' sejak 2009, yang membawa kepada tamatnya perang
saudara berpanjangan di Sri lanka.
Menurut polis, salah seorang suspek - seorang ejen insurans
- didakwa merancang melakukan serangan di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka
di Kuala Lumpur.


