Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mencabar P Ramasamy,
sekiranya pemimpin DAP itu bersungguh mahu menyaman beliau, susulan
perkongsiannya mengenai individu yang terbabit dalam kumpulan pengganas Harimau
Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) menerusi laman Facebook.
Beliau yang juga Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM)
berkata, pihaknya sedia menanti surat saman daripada Timbalan Ketua Menteri II
Pulau Pinang dan berharap akan bersua di mahkamah.
Loading...
Katanya, di situ beliau akan mengambil peluang untuk
mendedahkan semua bukti bahawa Ramasamy berkait rapat dengan LTTE dan Transnational Government of Tamil
Eelam (TGTE).
“Pada waktu itu, seluruh dunia akan lihat siapa yang
berputar belit selama ini dan siapa fitnah siapa. Tak perlu fikir nak padamkan
gambar dan video anda, saya dah simpan majoritinya jika bukan semua.
“Saya dan peguam saya menanti surat saman dari anda,
Ramasamy… berani kerana benar, padam kerana salah,” katanya dalam satu
kenyataan.
Terdahulu, Pejabat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang
telah membuat satu laporan polis terhadap satu laman Facebook bernama Pusat
Kajian Ancaman Pengganas dan Misionari di Malaysia.
loading...
Pejabat itu mendakwa akaun Facebook itu memaparkan
kenyataan-kenyataan fitnah terhadap beberapa orang pemimpin kerajaan termasuk
ke atas Ramasamy.
Dalam kenyataan itu, difahamkan dua laporan polis telah
dibuat ke atas laman Facebook itu termasuk pengendalinya, selain ia telah
dirujuk ke Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), namun tiada
tindakan telah diambil.
Kenyataan itu juga menyebut, paparan-paparan berkenaan
sering dikongsi oleh Firdaus Wong dengan mendakwa kononnya berniat untuk
merosakkan nama Ramasamy, malah pemimpin itu juga telah meminta peguamnya untuk
menyaman pendakwah terbabit. - Ismaweb



