Filem berkenaan akan memulakan sesi penggambaraan selama 65
hari bermula Mac depan melibatkan beberapa lokasi antaranya Perak, Kedah,
Singapura, Kobe (Jepun) dan New York. — Foto oleh Mukhriz Hazim
Kisah cinta dan pengorbanan lebih enam dekad isteri perdana
menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bakal
diangkat dalam sebuah filem biopik dan cinta berjudul ‘Hasmah-Bila Deh Bertemu Det.’
Karya terbitan Tune Production Sdn Bhd., itu menyaksikan
pelakon Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin melakonkan watak
utama Dr Siti Hasmah dan Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir.
Loading...
Pengarah Urusannya, Hafiz Rozlan berkata filem berkenaan
akan memulakan sesi penggambaraan selama 65 hari bermula Mac depan yang
melibatkan beberapa lokasi antaranya Perak, Kedah, Singapura, Kobe (Jepun) dan
New York dan dijangka ditayangkan pada akhir tahun depan.
Beliau berkata filem berkenaan berpandukan kisah sebenar
yang dilalui Dr Siti Hasmah sejak dari kecil, sekolah dan setiap babak yang
dilakonkan tiada tokok tambahnya mahupun ditukar daripada senario sebenar.
“Filem ini berkisahkan biopik dan cinta tentang perjalanan
kehidupan beliau (Dr Siti Hasmah), suka duka, pahit manis dan rintangan yang
dilalui sebagai seorang isteri kepada perdana menteri,” katanya pada majlis
prapelancaran filem berkenaan yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan
Multimedia, Eddin Syazlee Shith, di sini, hari ini.
Pada sidang media selepas itu, Hafiz berkata, pihaknya masih
belum memuktamadkan pengarah filem berkenaan kerana masih dalam proses menilai
calon yang paling layak dan terbaik.
Menurutnya, filem tersebut dianggarkan menelan kos antara
RM6 hingga RM7 juta.
loading...
“Untuk skrip pula sekarang dalam proses dan dijangka siap
akhir bulan ini termasuklah kita semak dua kali dengan Dr Siti Hasmah sendiri
mengenai cara beliau bercakap dan dialog dalam kisah itu.
“Selain menjadikan buku biografi (Dr Siti Hasmah) sebagai
rujukan utama, kami juga akan bertanya pada beliau untuk menceritakan apa yang
berlaku semasa beliau dengan Dr Mahathir yang kisahnya tiada dalam buku itu,”
katanya.
Sementara itu, Nad beliau sendiri tidak percaya akan
ditawarkan watak itu kerana sudah lama mengimpikan berlakon dalam genre biopik
seperti itu dan menganggapnya sebagai cabaran yang besar apatah lagi melakonkan
watak seorang tokoh negara.
“Setakat ini persediaan untuk saya melakonkan watak ini saya
sudah masuk kelas biola sebulan lebih dan juga banyak menonton video-video
wawancara Tun (Dr Siti Hasmah) serta juga membaca buku biografi beliau.
Insya-Allah saya akan berjumpa dengan beliau dalam waktu terdekat untuk lebih
mengenalinya,” kata beliau.
Sementara itu, Eddin Syazlee, berkata ,filem itu harus
dilihat bukan sahaja daripada segi konteks kandungannya yang mengangkat sisi
perjuangan wanita hebat sebagai isteri, pemimpin kepada rakyat namun
kepentingan bergenre sebegini sebagai khazanah dan warisan kepada negara.
“Jika di luar negara karya-karya hebat yang mengangkat
perjuangan Wanita Pertama seperti Jacqueline Kennedy Onassis (Jackie) (Amerika
Syarikat), Maria Eva Duarte de Peron (Evita) (Argentina) dan Habibie dan Ainun
(Indonesia) menjadi wadah visual yang ikonik, saya percaya filem ‘Hasmah-Bila
Deh Bertemu Det’ seperti ini mampu diterima di peringkat domestik dan
antarabangsa,” katanya. — Bernama


