Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempertahankan
keputusan kementeriannya tidak membenarkan pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur
dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ ke mana-mana institusi pendidikan di seluruh
negara selepas didakwa mengandungi unsur propaganda politik.
Dr Maszlee menegaskan tindakan itu adalah bersandarkan
kepada undang-undang, malah keputusan berkenaan juga dibuat atas nasihat
Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Loading...
“Negara kita memiliki undang-undang yang perlu dihormati dan
dipatuhi. Ini merangkumi semua bahan bercetak, termasuk buku atau komik politik
mahupun bahan propaganda yang jika mahu diedarkan, apatah lagi ke sekolah, ia
perlu mengikut peraturan.
“Semua bahan bercetak tertakluk pada undang-undang
percetakan (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984).
Kita bertindak atas landasan undang-undang. Dalam apa saja
tindakan dibuat, kita perlu merujuk kepada KDN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jom
Sekolah 2020 Yayasan Harapan Pontian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk
Kerang, Tanjung Piai, di sini hari ini.
loading...
Hadir sama Pengerusi Yayasan Harapan Pontian, Zulkifly
Tasreep dan Pengetua SMK Teluk Kerang, Azizah Omar.
Semalam, seramai 43 pemimpin akar umbi, termasuk beberapa
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP membantah pengumuman Dr Maszlee yang
melarang pengedaran komik berkenaan di sekolah.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador
dilaporkan berkata, penulis komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat
Bersama’ sudah memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Malah, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut
menyatakan siasatan wajar dibuat selepas hasil laporan awal Bahagian
Keselamatan KDN mendapati kandungan komik berkenaan mempunyai perkara tidak
benar dan tindakan tegas wajar diambil.
Kementerian Pendidikan sebelum ini mengeluarkan kenyataan
tidak pernah memberi kebenaran atau kelulusan untuk pengedaran buku komik
berkenaan kepada mana-mana institusi pendidikan termasuk sekolah.
Menurut kenyataan sama, Jabatan Pendidikan Negeri dan
Pejabat Pendidikan Daerah sudah diarah memastikan sekolah tidak menerima dan
mengedarkan buku komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.
Komik itu diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kebudayaan
Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), atas kerjasama kolektif antara
kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling. - Berita Harian


