Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan
dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung
kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor
Ming Super Fans Page’.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan
Undang-undang (D5) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata Najib telah
dihubungi berhubung perkara itu dan bersetuju untuk hadir memberi keterangan.
Loading...
“Selain Najib, Nga juga akan dipanggil pada bila-bila masa
untuk memberi keterangan kali kedua bagi kes ini,“ katanya pada sidang akhbar
selepas menghadiri perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman, di sini, hari ini.
Mior Faridalatrash berkata Nga telah memberi kerjasama baik
kepada polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana
memfitnah.
Bernama sebelum ini melaporkan Nga menggesa polis menyiasat
laman sosial Facebook 'Najib Razak' yang memuat naik hantaran yang didakwa
berbaur fitnah pada 30 Sept lalu.
Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan
Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu
berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor
Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun
Facebook.
loading...
Pada 29 Sept lepas, tular di media sosial mengenai hantaran
yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa
mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan
tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.
Nga bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam
membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar
mewakili dirinya dan parti itu. - Bernama


