Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan baharu bekerja
lebih masa untuk mencergaskan semula dan memulihkan keadaan kucar-kacir yang
ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, dengan jalan ke arah pemulihan kini
semakin jelas kelihatan.
Berucap pada Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di Kuala
Lumpur hari ini, perdana menteri menegaskan bahawa kerajaan melaksanakan
reformasi penting untuk mempertingkatkan kestabilan, memperkukuhkan pengurusan
fiskal dan memantapkan tadbir urus korporat serta ketelusan.
Loading...
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan terus dibebani dengan
hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini.
Beliau berkata meskipun kerajaan mengambil pelbagai langkah
untuk menangani perkara itu, ia akan mengambil masa untuk memperbaiki kedudukan
fiskal negara.
"Kini sudah setahun setengah sejak kerajaan bertukar.
Sambil kita membongkar lebih banyak lagi, kita dapat melihat bagaimana potensi
Malaysia telah dibazirkan. Namun begitu, kita juga kini dapat melihat jalan ke
arah pemulihan di hadapan," kata Dr Mahathir.
Turut hadir pada sidang kemuncak bertemakan 'Mencergaskan
Semula Korporat Malaysia' ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed
Azmin Ali dan Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Dr Zeti
Akhtar Aziz.
loading...
Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk
melaksanakan inisiatif yang diperlukan bagi mencapai matlamat utama
menstrukturkan semula ekonomi ke arah menjadi progresif, berasaskan pengetahuan
dan memperkasakan rakyat Malaysia.
Bagi mencapai matlamat itu, perdana menteri berkata adalah
penting agar sektor swasta melaksanakan peranan sebagai pemacu utama ekonomi.
Dr Mahathir menarik perhatian bahawa 'reboot' (langkah
mencergaskan semula) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menyaksikan beberapa
keadaan normal kembali ke dalam sistem tadbir urus dan pentadbiran.
"Berdasarkan hubungan simbiosis antara kerajaan dan
sektor kerajaan, tidak syak lagi, sektor korporat Malaysia juga perlu untuk
‘reboot’ dan kami percaya kerajaan akan kembali semula ke landasan yang tepat,
begitu juga dengan sektor korporat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata Korporat
Malaysia perlu melaksanakan peranan lebih besar dalam mewujudkan kekayaan dan
pembentukan nilai.
Perdana menteri berkata sebahagian daripada proses ini
membabitkan peningkatan produktiviti dan pembangunan bakat.
"Bagi peningkatan produktiviti, teknologi perlu lebih
dimanfaatkan lagi, manakala bagi pembangunan bakat pula, sektor swasta dan GLC
(syarikat berkaitan kerajaan) perlu menyokong sistem pendidikan sedia ada.
"Di samping itu, adalah penting untuk memperkasakan
golongan usahawan yang akan memberi sumbangan kepada sebuah sektor swasta yang
dinamik. Kita juga perlu memperkukuhkan institusi sedia ada untuk menjana bakat
yang diperlukan oleh sektor awam dan swasta,” katanya.
Dr Mahathir menggesa Korporat Malaysia supaya memberi
perhatian kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang ideal untuk didukung
dalam semua aspek.
“Ini bukan sekadar retorik atau janji kosong, kerana dia
mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia diberi
peluang untuk berjaya," katanya.
- Bernama


