Foto The straits Times
Proses peralihan jawatan Perdana Menteri melibatkan
Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim sudah ‘berulang kali’ dimuktamadkan.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata, Dr Mahathir telah menyatakan beliau belum bersedia sehinggalah masalah
ekonomi dan negara selesai.
Loading...
Menurutnya, proses peralihan itu nampak seolah-olah tidak
berhenti dibincangkan kerana media kerap membangkitkan isu berkenaan.
“Tak berhenti, kenapa, sebab anda jolok (tanya soalan).
(Adakah ada keputusan muktamad?) Muktamad berulang kali dah.
“PM (Perdana Menteri) dah menyatakan beliau belum bersedia
sehinggalah selesai masalah ekonomi dan negara. Masalah ini rumit dan beliau
mempunyai pengalaman luas untuk membantu,” katanya ketika ditemui di lobi
Parlimen hari ini.
Ketika ditanya berhubung kenyataan Anwar mendakwa ada pihak
cuba menghalangnya menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Gombak itu
menyarankan supaya pihak terlibat tidak lagi menyatakan isu itu secara terbuka
kerana akan menimbulkan banyak persoalan.
loading...
"Sebab itu saya kata jangan bercakap. Bila bercakap,
macam-macam soalan timbul. Jadi hentikan semua perbincangan.
“Kita akan adakan perbincangan tentang memperkukuhkan
negara, memajukan rakyat luar bandar, tumpu soal WKB (Wawasan Kemakmuran
Bersama 2030),” katanya.
Semalam, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan
parti tersebut enggan lagi menyentuh soal Perdana Menteri kelapan dan
‘pengkhianatan’ dalam PKR.
Menurutnya, mereka mahu bergerak ke hadapan dan memfokuskan
untuk meningkatkan tahap ekonomi serta perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita kan dah tak mahu sentuh isu ini, tiada lagi sentuh isu
PM8 (Perdana Menteri kelapan), tiada lagi isu pengkhianatan.
“Kita perlu bergerak ke hadapan, lakukan kerja kita,
tingkatkan ekonomi negara dan perkhidmatan kita kepada rakyat,” katanya. - Sinar Harian


