Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua Kiam Wee akan mendapat
ganti rugi berhubung injunksi dalam kes saman yang difailkan oleh Datuk Seri
Najib Razak terhadapnya berhubung klip video mengenai pembentangan Rang
Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuiasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau
RUU355.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh
Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer, mengetepikan injunksi yang diperoleh
Najib dalam kes samannya dan memutuskan bahawa Pua, yang juga Setiausaha
Politik kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng, berhak menerima ganti rugi.
Loading...
Beliau memerintahkan jumlah ganti rugi itu dinilai oleh
Mahkamah Tinggi selepas mengetepikan injunksi tersebut.
Hakim Dr Hamid Sultan yang bersidang bersama Hakim Datuk
Hanipah Farikullah dan Hakim Datuk Lau Bee Lan bagaimanapun mengekalkan
keputusan Mahkamah Tinggi yang membolehkan Najib menarik balik samannya
terhadap Pua.
"Ini adalah kes yang paling sesuai dan wajar untuk
mahkamah membenarkan rayuan secara sebahagian. Pihak-pihak berkaitan perlu
kembali ke Mahkamah Tinggi untuk penilaian ganti rugi," katanya.
Mahkamah juga memerintahkan bekas perdana menteri untuk
membayar kos RM10,000 kepada Pua.
Pua merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada 30 Julai 2018 yang membenarkan Najib menarik balik saman terhadapnya
walaupun Pua membantah.
loading...
Najib atas kapasiti peribadinya, menyaman Pua kerana
mendakwa membuat kenyataan berbaur fitnah terhadapnya dalam video siaran
langsung berdurasi dua minit dan 21 saat yang dimuat naik oleh Pua dalam laman
Facebook rasminya.
Peguam Surendra Ananth mewakili Pua sementara Datuk Mohd
Hafarizam Harun mewakili Najib.
- Bernama


