Foto Astro Awani
Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam proses menyediakan
garis panduan berkaitan tatacara pelaksanaan pengenalan tulisan jawi dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata surat siaran akan
diedarkan kepada semua sekolah di seluruh negara sebelum bermulanya sesi
persekolahan 2020 bagi memastikan pelaksanaan pengenalan tulisan jawi di
sekolah tahun hadapan berjalan lancar.
Loading...
“Walau apa pun isu yang timbul berkenaan pengenalan tulisan
jawi ini, saya ingin tegaskan bahawa KPM akan terus melaksanakan pelbagai usaha
bagi memastikan tulisan jawi sebagai sejarah warisan negara diperkasakan dalam
kalangan rakyat berbilang bangsa,” katanya pada sesi Persidangan Kamar Khas
Dewan Rakyat hari ini.
Maszlee berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Dr
Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai Kurikulum Standard Sekolah Rendah
semakan bagi subjek Bahasa Melayu Tahun 4 dan pengenalan Seni Tulisan Khat
sebagai pengisian tambahan.
Pada 3 Ogos lepas, kerajaan memutuskan pelaksanaan tulisan
khat jawi akan dilaksanakan secara pilihan dan hanya akan dilakukan jika
dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid
SJK manakala di Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.
loading...
Untuk tujuan pemerkasaan pelaksanaan itu, beliau berkata
pihaknya akan menyediakan ruang penulisan tulisan jawi dalam majalah terbitan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) seperti Tamadun Islam, Tunas Cipta, Dewan
Pelajar yang boleh disebarkan kepada murid pelbagai kaum.
“Selain itu, KPM akan melantik Munsyi Dewan (Jawi) dalam
kalangan penggiat tulisan Jawi. Sehingga kini, terdapat 51 Munsyi Dewan (Jawi).
Kementerian akan melaksanakan program dan klinik Jawi seperti Kursus Pembinaan
Munsyi Dewan (Jawi) serta Kursus Pengkaedahan Jawi Guru KAFA,” katanya.
Walaupun tiada keperluan menetapkan setiap murid wajib lulus
pengenalan tulisan jawi buat masa ini, Maszlee berkata ia merupakan strategi
bagi menyokong pelaksanaan kemahiran bahasa selain memperkayakan murid dengan
pengetahuan seni, warisan serta Bahasa Melayu.
Katanya tulisan jawi bukan merupakan suatu mata pelajaran
atau subjek, tetapi diperkenalkan sebagai aspek seni bahasa.
“Besarlah harapan saya agar isu ini tidak dipolitikkan,
sebaliknya marilah kita menjadikan pendidikan sebagai wadah utama perpaduan
rakyat Malaysia selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
- Bernama


