Universiti Malaya (UM) bertindak menghalang seorang
graduannya daripada menyertai istiadat konvokesyen kelmarin, selepas didapati
menghasut graduan lain untuk turut serta mendesak Naib Canselor universiti itu
meletakkan jawatan kerana kononnya bersikap perkauman.
UM, dalam kenyataannya di sini semalam, memaklumkan siasatan
awal mendapati, graduan Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu telah menggunakan
akaun Facebooknya untuk berbuat demikian dan hasil pemeriksaan yang dilakukan
sebelum sidang ketujuh dilangsungkan telah menemukan sekeping plakad yang
mengandungi kata-kata bersifat provokatif daripada pelajar itu.
Loading...
“Penemuan itu memperlihatkan bahawa graduan itu mempunyai
niat untuk menganggu perjalanan istiadat konvokesyen yang bakal berlangsung.
“Bagi memastikan kelancaran dan ketenteraman istiadat yang
dihadiri kira-kira 1,500 tetamu termasuk ibu bapa, ahli akademik dan graduan
lain, graduan itu dibawa keluar dari Dewan Tunku Canselor dan tidak dibenar
menyertai istiadat konvokesyen, kelmarin,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan UM sentiasa mendokong prinsip
kebebasan bersuara, bagaimanapun, sebagai institusi pengajian tinggi yang
memegang amanah besar untuk mendidik generasi masa depan, universiti berkenaan
juga percaya kebebasan itu perlu dilengkapi tanggungjawab.
“Justeru, apa juga tindakan berlandaskan prinsip itu perlu
dilakukan pada tempat dan cara yang sesuai,” katanya.
loading...
UM turut melahirkan kebimbangan tindakan yang berbentuk
hasutan dengan memainkan agenda perkauman itu bukan hanya berkemungkinan boleh
mengancam keselamatan Naib Canselor, tetapi turut menggugat ketenteraman dan
kerukunan awam terutama di universiti itu.
Sebelum ini, Isnin lalu seorang graduan kejuruteraan awam
mengejutkan tetamu yang hadir pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen UM kali
ke-59 apabila bertindak mengeluar dan menayangkan plakad tertera perkataan,
‘Tolak Rasis’ dan ‘Undur VC’ sebaik menerima skrol ijazah.
Graduan terbabit melaungkan perkataan itu sambil menjerit
‘ini tanah Malaysia’ sehingga menimbulkan kecaman ramai yang kurang senang
dengan tindakannnya yang tidak menghormati majlis itu. — Bernama


