Wang berjumlah RM1,980,328.37 yang dibekukan daripada akaun
Yayasan Tun Hussein Onn, yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan
dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini menjadi harta Kerajaan Malaysia.
Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili yayasan itu
memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd
Salleh bahawa anak guamnya yang merupakan responden dalam permohonan itu
bersetuju wang RM1,980,328.37 dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.
Loading...
Timbalan Pendakwa Raya Allan Suman Pillai daripada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata pihaknya akan menarik
balik permohonan lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan daripada
yayasan itu.
"Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan terhadap
yayasan tersebut mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan
Pembiayaan Keganasan 2001," katanya pada sebutan kes itu hari ini.
Ahmad Shahrir membenarkan wang RM1,980,328.37 daripada akaun
yayasan itu dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.
loading...
Dalam kes lain, Ahmad Shahrir juga membenarkan wang
berjumlah RM121, 205 yang dibekukan daripada akaun Rayhar Travels Sdn Bhd
dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia.
Peguam Mat Yunus Sharif mewakili agensi itu memberitahu
mahkamah bahawa anak guamnya bersetuju wang tersebut dilucut hak kepada
Kerajaan Malaysia manakala Allan berkata pihaknya menarik balik permohonan
lucut hak itu selepas SPRM memperoleh wang berkenaan.
Di Mahkamah Tinggi lain, Hakim Collin Lawrence Sequerah
menetapkan 26 Disember untuk pendengaran kes pelucutan hak wang berjumlah
RM11.9 juta milik ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusuf yang disita SPRM
didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.
Perkara itu dimaklumkan Allan selepas sebutan kes itu di
dalam kamar Hakim Sequerah yang turut dihadiri peguam Datuk Kamarul Hisham
Kamaruddin bertindak bagi pihak Bustari.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya
baru-baru ini berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41
responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai
kaitan dengan 1MDB.
Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta
Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan yang
suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama


