Bekas perdana menteri Najib Razak hari ini gagal dalam
permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan untuk membela diri dalam kes SRC
International Sdn Bhd yang dijadual bermula pada 3 Dis.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak
permohonan itu dan memerintahkan perbicaraan diteruskan seperti ditetapkan
sebelum ini.
Loading...
Hakim sebelum ini menetapkan 3 hingga 4 Dis, 9 hingga 12
Dis, dan 16 hingga 19 Dis untuk Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan
menggelapkan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Hakim Mohd Nazlan berkata beliau telah mempertimbangkan
latar belakang perbicaraan, permulaan dan kemajuan, tarikh penting dan arahan
utama yang diberikan terlebih dahulu.
"Saya mendapati bahawa notis dan masa yang lebih
daripada mencukupi telah diberikan kepada pemohon (Najib) untuk menyediakan dan
merangka semula persiapan yang berkaitan. Permintaan untuk penangguhan mengikut
pandangan saya tidak dapat dibenarkan. Oleh yang demikian, saya menolak
permohonan dan perbicaraan akan disambung semula pada 3 Dis, " katanya.
loading...
Pasukan pembela memohon penangguhan secara lisan kerana
mereka memerlukan lebih banyak masa untuk menyediakan pembelaan diri bagi
Najib.
Terdahulu mahkamah juga mendengar penghujahan oleh kedua-dua
pihak mengenai permohonan pihak pembela untuk memohon senarai saksi dari pihak
pendakwa.
Ini adalah saksi-saksi yang pihak pendakwaan tidak
menawarkan kepada pihak pembela tetapi kenyataan mereka telah dirakamkan.
Mengenai permohonan ini, Hakim Mohd Nazlan menyifatkannya
sebagai "pengumpulan maklumat” apabila kenyataan yang diambil oleh pegawai
penyiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah
dilindungi dan tidak tertakluk kepada pendedahan untuk pemeriksaan di mana-mana
peringkat perbicaraan.
"Saya mendapati bahawa ujian keinginan dan keperluan,
berhubung saksi-saksi yang telah pun ditawarkan kepada pihak pembela tidak
dipenuhi kerana pemohon tidak mengenal pasti kenyataan saksi mana yang diperlukannya
dan apakah peranan saksi-saksi dan kerelevanan keterangan itu.
"Dengan itu , saya menolak permohonan.
Terdahulu, Peguam Negara Tommy Thomas berhujah bahawa
mengikut Kaedah-Kaedah Profesion Undang-Undang (Amalan dan Etika) 1978, peguam
tidak boleh mengambil kes jika mereka tidak mempunyai masa.
"Terdapat 4,000 hingga 5,000 peguam di negara ini. Jika
pihak pembela memilih barisan peguam bela yang sama, mereka mesti bersedia
untuk berbuat demikian. Oleh itu, atas sebab-sebab itu Yang Arif, saya membantah
penangguhan itu dan perbicaraan harus disambung semula pada 3 Dis,"
katanya.
Peguam kanan Muhammad Shafee Abdullah mengetuai barisan
peguambela untuk semua kes yang dihadapi Najib, manakala Harvinderjit Singh
adalah peguam bersama.
Harvinderjit berhujah bahawa mereka memerlukan lebih banyak
masa untuk menyediakan kes pembela kerana sibuk dengan satu lagi kes Najib yang
akan dibicarakan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang akan bermula Isnin
ini.
Pada 11 Nov, Hakim Mohd Nazlan memerintahkan Najib membela
diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan berhubung dana SRC selepas memutuskan
bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap
Najib.
Najib, 66, yang juga anggota parlimen Pekan, mulanya
dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai 2018, untuk menghadapi
tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan salah satu pertuduhan salahguna
kuasa berkaitan dana SRC berjumlah RM42 juta.
Pada 8 Ogos, bekas perdana menteri itu sekali lagi didakwa
di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah
wang yang sama. Kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Najib didakwa melakukan kesemua kesalahan itu antara 17 Ogos
2011 dan 2 Mac 2015.
-Bernama


