Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah hari ini menerima menghadap Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad bagi Mesyuarat Pra-Kabinet mingguan kali ke-30, yang
disifatkan Istana Negara sebagai ‘amat bermakna’.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad
Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata mesyuarat di Istana Melawati di
sini bermula pada 8 pagi dan berlangsung selama 45 minit.
Loading...
“Mesyuarat Pra-Kabinet pada hari ini amat bermakna kerana ia
merupakan Mesyuarat Pra-Kabinet kali ke-30 Seri Paduka Baginda bersama Perdana
Menteri sejak Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16
pada Januari tahun ini.
“Ini menunjukkan bahawa Al-Sultan Abdullah bukan sahaja amat
prihatin dalam hal ehwal pengurusan dan pentadbiran negara malah yang juga
penting, Seri Paduka Baginda mengambil perhatian serius dalam hal ehwal
kebajikan rakyat jelata,” katanya.
“Al-Sultan Abdullah juga amat terperinci, di mana Seri
Paduka Baginda sentiasa meluangkan masa untuk meneliti Memorandum, Nota Jemaah
Menteri dan laporan-laporan, sehari sebelum setiap Mesyuarat Pra-Kabinet
diadakan,” katanya.
loading...
Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah amat peka semasa
mesyuarat berlangsung dan Seri Paduka menggunakan buku nota kecil untuk
mencatat butiran perbincangan bersama perdana menteri.
Katanya Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti
mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat
bersama perdana menteri.
Mesyuarat-mesyuarat Pra-Kabinet, yang berlangsung selama 30
hingga 40 minit, pada kebiasaannya berlangsung pada Rabu atau Jumaat (sekiranya
persidangan Dewan Rakyat berlangsung). Mesyuarat tetap dijalankan jika perdana
menteri tidak dapat menghadirinya dan beliau diwakili oleh timbalannya, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mesyuarat Pra-Kabinet, bagaimanapun, tidak berlangsung jika
hari tersebut jatuh pada cuti umum atau jika pada hari tersebut berlangsung
majlis atau acara rasmi negara seperti Pameran Aeroangkasa dan Maritim
Antarabangsa Langkawi pada Mac lepas.
“Keprihatinan dan keperibadian tinggi Al-Sultan Abdullah
turut terserlah apabila Seri Paduka Baginda menitahkan agar Mesyuarat
Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri diadakan di Istana Melawati dan bukan di
Istana Negara seperti kebiasaan yang diamalkan terdahulu.
“Ini untuk memudahkan pergerakan perdana menteri supaya
beliau tidak perlu datang ke Istana Negara dari pejabat beliau di Putrajaya,”
katanya.
Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berangkat dari Istana Negara
pada 7.15 pagi dan tiba di Istana Melawati pada 7.50 pagi untuk persediaan bagi
Mesyuarat Pra-Kabinet yang bermula pada 8 pagi.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja berkata Seri Paduka turut
menasihati rakyat jelata supaya bersabar dan memberi kepercayaan kepada perdana
menteri dan menteri-menteri Kabinet dalam usaha menyejahterakan negara dan juga
rakyat jelata. - Bernama


