“Anda semua ingat apa perjanjian itu? Perjanjian yang Anwar
akan menjadi Perdana Menteri yang kelapan selepas dua tahun tampuk pemerintahan
dipegang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Jadi apa yang kita pinta kini, kita hendak Anwar jadi PM
secepat mungkin. Tolong ingat pada perjanjian gentleman agreement yang dibuat
sebelum ini,” kata Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.
Loading...
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu berkata
demikian pada Konvensyen Reformis 2019 anjuran Otai Reformis 98 di Ideal
Convention Centre Shah Alam di sini hari ini.
Ini juga bukan kali pertama Ronnie melakukan desakan supaya
Presiden PKR menjadi Perdana Menteri secara terbuka sebaliknya sudah
berkali-kali memberi peringatan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk
segera menunaikan janji tersebut.
Malah Ronnie yang Bendahari Otai 98 juga terang-terangan
sebelum ini pernah mendakwa Anwar mempunyai sokongan majoriti daripada semua termasuk
PKR, DAP serta AMANAH untuk menggantikan Mahathir selewat-lewatnya tahun 2020.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, seandainya Anwar dapat
menjadi Perdana Menteri dalam ‘secepat mungkin’ lagi cepat pelbagai jenis
reformasi dapat dilakukan bukan sahaja untuk satu kaum atau bangsa sebaliknya
untuk keseluruhan rakyat Malaysia.
loading...
“Minda reformasi itu sudah lama dan sebati dengan Anwar
sejak dulu lagi. Malah beliau jugalah yang banyak menyatu padukan masyarakat
Cina dan India,” tegasnya.
Mengimbas semula hubungan DAP dengan Anwar, Ronnie berkata,
parti satu masa dahulu sangat gerun dan menganggap Anwar sebagai musuh utama
semasa Anwar berada di dalam UMNO.
Ini kerana kata Ronnie,
kepimpinan Anwar semasa dalam UMNO begitu menyerlah sehingga menyebabkan
parti pembangkang ketika itu sukar melawan kerajaan pemerintah pada masa itu.
Malah katanya, Anwar juga telah memainkan peranan utama
sejurus selepas keluar UMNO menyatukan Pas dan DAP supaya boleh menentang UMNO
sekaligus menang besar pada pilihan raya selepas itu.
“Itu juga antara sebab saya menyertai Otai Reformis tanpa
langsung berbincang dengan Penasihat DAP seperti mendiang Karpal Singh, saudara
Lim Kit Siang.
“Pada saya, dari awal lagi Anwar sememangnya seorang
pemimpin hebat, ikon demokrasi dan reformasi paling unggul.
“Dulu dalam DAP, kami anggap Anwar sebagai musuh utama.
Kekuatan UMNO adalah kerana Anwar juga. Apabila beliau keluar UMNO, beliau
telah bertindak menyatukan kita semua. Itu yang betul.
“Melalui PRU 2008, kita menang beberapa negeri dan Anwar
telah mainkan peranan yang sangat besar sebenarnya. Saya hendak ulangi lagi
gentleman agreement pada PRU-14,” ujarnya.
Selain Anwar, Konvensyen Reformis 2019 sehari suntuk dengan
tema ‘Reformis Tetap Menyala Selagi Reformis Masih Bernyawa’ juga telah
dihadiri Pengerusi Otai 98 merangkap ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad.
Selain itu, turut kelihatan beberapa Ahli Parlimen Kapar,
Abdullah Sani, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Parlimen
Batu, P. Prabakaran dan ADUN Kota Alam Shah, Ganabatirao. –MalaysiaGazette


