BEKAS hakim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah
Alam, hari ini atas tuduhan menerima suapan RM17,500 bagi menjatuhkan hukuman
denda terhadap tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI), Julai lalu.
Tertuduh Azmil Muntapha Abas, 45 membuat pengakuan itu
selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Loading...
Turut didakwa bagi pertuduhan sama, bekas Timbalan Pendakwa
Raya Khairul Azhwa Yusrie, 32, dan peguam Noor Amirul Nazreen Anas, 31,
masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara
rasuah bersetuju menerima untuk diri mereka satu suapan sebanyak RM17,500
daripada Wong Chiew Hoong, 40 sebagai upah untuk Azmil Muntapha menjatuhkan
hukuman denda sahaja bagi tujuh PATI di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen
1959/63.
Perbuatan itu dilakukan pada 9.30 pagi dan 2.45 petang di
Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 17 Julai 2019.
Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang sabit
kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak
kurang daripada lima kali nilai suapan.
loading...
Sementara itu, Azmil Muntapha yang kini berkhidmat sebagai
pegawai undang-undang di Istana Kehakiman, Putrajaya, turut didakwa dengan
pertuduhan kedua kerana menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi menjatuhkan
hukuman denda sahaja terhadap enam individu yang melakukan kesalahan mengikut
Akta Rumah Judi Terbuka 1953(Akta289).
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bank di Jalan Meru pada
8.24 malam, 10 Mei 2018.
Dia didakwa mengikut subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 (Akta
289) dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun serta denda
tidak kurang daripada lima kali nilai suapan.
Dia juga ditawarkan pertuduhan pilihan bagi kesalahan sama
mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Bahagian Perundangan dan
Pendakwaan SPRM Roslan Mat Nor dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai.
Azmil Muntapha diwakili peguam Gregory Santiago, A Sheelan,
Ridha Abdah Subri, dan Jagesh M. Lingam manakala, Khairul Azhwa diwakili
Zulkepli Omar serta Nur Fathin Muhammad Zain.
Noor Amirul pula diwakili peguam Shahidah Muslimah Roslan
dan Noorhidayah Mohd Saad.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM100,000
namun, semua peguam tertuduh meminta jaminan dikurangkan iaitu antara RM2,500
hingga RM12,000.
Rozilah kemudian menetapkan ketiga-tiga tertuduh diikat
jamin RM12,000 setiap seorang manakala, Azmil Muntapha diberikan jaminan
tambahan sebanyak RM6,000 bagi pertuduhan kedua dihadapinya.
Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 16 Disember
depan. - Harian Metro


