Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini
menitahkan supaya agihan kutipan zakat di negeri ini hanya untuk lapan golongan
asnaf dalam kalangan umat Islam.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani
berkata, Sultan Sharafuddin menitahkan bahawa lapan golongan tersebut
termasuklah asnaf fakir, miskin dan golongan muallaf (saudara baharu).
Loading...
Dalam satu kenyataan beliau berkata Sultan Sharafuddin telah
mendapat nasihat daripada Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid bahawa
agihan zakat kepada golongan bukan Islam hanya dibolehkan sekiranya ia menjadi
penyebab individu berkenaan memeluk agama Islam di bawah asnaf Mu’allati
Qulubuhum.
Beliau berkata Sultan Selangor menitahkan demikian susulan
laporan akhbar serta yang tular di media sosial mengenai kenyataan dua mufti
dan seorang ahli politik yang menyentuh mengenai agihan kutipan wang zakat
kepada golongan bukan Islam di negara ini.
Mohamad Munir berkata Sultan Sharafuddin turut meminta
supaya isu berkaitan pengagihan zakat tidak lagi diperdebatkan secara terbuka
di media massa.
loading...
Malah baginda berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan
dengan menggunakan isu-isu berkaitan dengan agama Islam untuk meraih populariti
atau mengambil hati mana-mana pihak tertentu.
Baginda juga mengingatkan bahawa fungsi zakat dan cukai
pendapatan adalah berbeza dan rakyat di harap dapat memahami dengan jelas
tujuan setiap agensi itu ditubuhkan.
Menurut Mohamad Munir, bagi negeri Selangor, disebabkan
majoriti rakyatnya beragama Islam dan jumlah penduduk Islam bertambah setiap
tahun, masih ramai orang Islam miskin di luar bandar dan juga miskin bandar
yang perlu dibantu menggunakan hasil kutipan wang zakat.
“Seperti yang kita sedia maklum, tanggungjawab membayar
zakat adalah merupakan salah satu daripada Rukun Islam yang wajib dipatuhi oleh
setiap umat Islam.
“Walaupun agama Islam adalah agama yang menekankan
sifat-sifat perikemanusiaan, tetapi agihan zakat diperoleh daripada umat Islam
hendaklah diberi kepada lapan golongan asnaf dalam kalangan umat Islam terutama
yang miskin dan memerlukan bantuan terlebih dahulu.
“Bagi orang-orang miskin bukan beragama Islam, adalah
menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka menerusi jabatan-jabatan
dan agensi yang telah ditetapkan,” katanya. — Bernama


