Kerajaan masih meneliti cadangan yang diterima untuk
pengambilalihan pegangan Khazanah Nasional Bhd sebanyak 51 peratus di dalam
PLUS Malaysia Bhd, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed zmin Ali.
Beliau berkata kerajaan sedang menimbangkan kesan daripada
pengambilalihan PLUS dari segi implikasi kewangan bagi melaksanakan
tanggungjawab kepada pengguna jalan raya untuk mengurangkan kos menggunakan
lebuh raya.
Loading...
"Antara langkah yang kita fikirkan ialah kita boleh
kurangkan kadar tol ataupun adakah boleh kita hapuskan tol dalam masa terdekat
kerana kalau kita nak rujuk kepada manifesto (Pakatan Harapan), ia tidak
dinyatakan begitu.
"Manifesto jelas menyatakan kita akan bincang secara
berperingkat dengan syarikat konsesi. Semua ini masih dalam pertimbangan kerana
kita tidak mahu membebankan kedudukan kewangan kerajaan, sementara memberikan
bantuan kepada rakyat dan pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita
di luar acara Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2019
di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai
laporan berita bahawa Kementerian Kewangan akan mengambil alih pegangan
Khazanah di dalam PLUS.
Menurut laporan berita, Kementerian Kewangan (MoF)
dipercayai berminat untuk mengambil alih pegangan Khazanah dalam PLUS berikutan
Putrajaya mahu mencegah aset penting itu daripada jatuh ke tangan syarikat
swasta.
loading...
Memetik sumber, laporan berita itu berkata MoF akan membeli
pegangan dalam konsesi lebuh raya terbesar negara itu dan mengekalkan aset itu
dalam pegangan sektor awam, manakala cadangan pengambilalihan itu akan
dibentangkan kepada Kabinet dalam waktu terdekat untuk dibincangkan.
Azmin berkata beliau masih belum melihat cadangan yang
dibuat oleh MoF.
"Kita belum buat keputusan sebab sekarang (PLUS)
dimiliki oleh Khazanah sebanyak 51 peratus dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
sebanyak 49 peratus. Dari segi teknikal, kedua-dua ini adalah cabang pelaburan
kerajaan, jadi kita melihat bagaimana mereka boleh membantu mendukung dasar
kerajaan untuk mengurangkan tol lebuh raya yang berkenaan.
"Saya masih belum melihat cadangan (dibuat oleh MoF)
kerana saya percaya perkara ini diteliti oleh Kementerian Kerja Raya,"
katanya.
Putrajaya sebelum ini mengesahkan ia menerima empat tawaran
rasmi daripada pihak yang berminat untuk mengambil alih PLUS iaitu Widad Group
Bhd, Maju Holdings Sdn Bhd, RRJ Capital dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.
- Bernama


