Perbicaraan ketiga pertuduhan jenayah yang dihadapi bekas
perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dijangka bermula
esok.
Najib berdepan pertuduhan meminda laporan akhir audit
1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama-sama bekas ketua pegawai eksekutif
1MDB Arul Kanda Kandasamy.
Loading...
Ahli parlimen Pekan itu ketika ini membuat persiapan untuk
membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd, membabitkan tujuh pertuduhan
menyeleweng RM42 juta dana SRC di sebuah lagi Mahkamah Tinggi. Kes pembelaan
beliau akan bermula pada 3 Dis.
Najib, 66, sedang dibicarakan atas empat pertuduhan
menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion
daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah
sama di mahkamah yang berlainan. Perbicaraan ditetapkan untuk bersambung pada 6
Jan tahun depan.
Sama ada perbicaraan akan bermula esok bergantung kepada
keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang terlebih dahulu akan membuat
keputusan berhubung permohonan Najib supaya tarikh perbicaraan meminda laporan
audit itu dilapangkan dan dibawa kepada 13 Jan 2020.
Mohamed Zaini telahpun mengarahkan semua pihak supaya
bersedia dengan perbicaraan sekiranya beliau menolak permohonan itu. Beliau
sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 Nov tahun ini dan 13 hingga 17 Jan 2020
bagi perbicaraan itu.
loading...
Seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya dalam pasukan
pendakwaan, Ahmad Akram Gharib, berkata pendakwaan telahpun bersedia dengan
tiga hingga lima saksi rasmi sekiranya hakim membuat keputusan untuk memulakan
perbicaraan pada Isnin.
Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram mengetuai
pasukan pendakwaan, yang turut dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Nik Suhaimi
Nik Sulaiman, Mohammad Al-Saifi Hashim, Ahmad Akram, Rozaliana Zakaria, Mohamad
Mustaffa P Kunyalam, Hazmida Harris Lee, Nadia Zulkefli, Tan Song Yan, Fatimah
Hannah Abd Wahab, Munira Syahirah Mohamad Kamal, Nur Syakirin Yaccob dan Wafa
Zainal Abidin.
Najib diwakili peguam Muhammad Shafee Abdullah, Harvinderjit
Singh, Wan Aizuddin Wan Mohammed, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Syahirah
Hanapiah, manakala Arul Kanda, 43, diwakili peguam N Sivananthan, Jasmine
Cheong serta Dhanyaa Shreeya Sukumar.
Dalam permohonan yang difailkan pada 13 Nov, Najib berkata
jika perbicaraan (meminda laporan audit) itu akan berjalan seperti dijadualkan,
beliau akan mengalami prejudis kerana beliau dan barisan peguamnya akan
memerlukan masa yang munasabah serta mencukupi untuk membuat persediaan untuk
membela dirinya dalam kes SRC.
Beliau turut menyatakan dalam permohonan itu bahawa pasukan
pembelaannya, pada masa sama, turut terbabit dalam membuat persiapan bagi satu
lagi kes 1MDB yang bermula pada 28 Ogos dan masih berjalan.
Permohonan Najib bagaimanapun dibantah oleh Arul Kanda yang
menggesa mahkamah supaya meneliti kepentingan semua tertuduh, bukan hanya
seorang tertuduh, dan memohon mahkamah supaya meneruskan perbicaraan itu kerana
beliau mahu diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan terhadapnya.
Pada 4 Jan tahun ini, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan
pendakwaan supaya kes membabitkan Najib dan Arul Kanda dibicarakan bersama.
Pada 12 Dis 2018, Najib menghadapi pertuduhan menggunakan
jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda,
sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi
mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu Perdana
Menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu
perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah
berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir
Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu
dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung
mempunyai kepentingan.
Ahli parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan
berkenaan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan
Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta
sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum
lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan
itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut
mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda
laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada dikenakan
tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan masa sama
mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23 (1) &
24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.
- Bernama


