Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bercadang
mempertimbangkan semula untuk kembali menyertai Barisan Nasional (BN), walaupun
parti itu berjaya menang besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung
Piai, semalam.
Loading...
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul
Karim Rahman Hamzah berkata beliau secara peribadi melihat ada hikmahnya PBB
dan tiga parti Sarawak lain keluar dari BN, dan bergerak menubuhkan GPS selepas
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.
"Ketika dalam sana (BN), nak berkokok pun tidak boleh,
sekarang kita (PBB dan parti GPS lain) berkokok sendiri, dia orang (parti lain)
terpaksa mendengar kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
acara TEDx Kenyalang 2019 di Kuching, Sarawak hari ini.
loading...
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian,
Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak berkata demikian ketika diminta mengulas
mengenai perkara berkenaan selepas calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menang
PRK berkenaan dengan majoriti 15,086, dalam pertandingan enam penjuru.
Wee memperoleh 25,466 undi, manakala calon Pakatan Harapan
Karmaine Sardini (10,380), calon Gerakan Wendy Subramaniam (1,707), calon Parti
Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (850
undi) dan dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock (380 undi) serta Faridah Aryani
Abdul Ghaffar (32 undi).
- Bernama


