Pasukan pembelaan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia
melibatkan Exco Perak Paul Yong Choo Kiong memohon supaya kes tersebut
dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Rajpal Singh yang mewakili Yong, berkata pihaknya
akan memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu mengikut Seksyen 417 Kanun
Tatacara Jenayah, dalam masa terdekat.
Loading...
"Kami akan menunggu tarikh ditetapkan Mahkamah Tinggi
untuk mendengar permohonan kami," katanya kepada pemberita selepas selesai
prosiding kes itu di Ipoh, Perak hari ini.
Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid turut
membenarkan perbicaraan kes yang dihadapi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan,
Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru
Perak itu, yang dijadualkan berlangsung esok dan Jumaat, ditangguh ke satu
tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Beliau berkata ia bagi mendengar pengurusan kes tersebut
pada 5 Dis.
Selain itu, Rajpal berkata pada perbicaraan hari ini
pihaknya sekali lagi membantah permohonan pihak pendakwaan untuk meletakkan dua
saksi termasuk pembantu rumah yang didakwa dirogol sebagai saksi terlindung
mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.
"Kami membantah dan hari ini hakim sepatutnya membuat
keputusan sama ada kedua-dua saksi boleh memberi keterangan di bawah akta
berkenaan atau sebaliknya. Bagaimanapun disebabkan pelbagai isu yang
dibangkitkan, yang saya tidak boleh nyatakan, kami kemudian memutuskan untuk memfailkan
usul,” katanya.
loading...
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar berkata
pihak pendakwaan membantah permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes ke
Mahkamah Tinggi kerana tiada sebab yang kukuh untuk perbicaraan ditangguhkan.
"Tiada kepentingan kes ini didengar di Mahkamah Tinggi.
Kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kes rogol yang memang bidang
kuasa Mahkamah Sesyen untuk membicara dan mendengar keterangan saksi semua,”
katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai
Azhar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala Rajpal,
Terence Naidu dan Farhan Sapian mewakili tertuduh.
Pada 23 Ogos lepas, Yong yang juga adun Tronoh mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya berumur 23
tahun di kediamannya di Meru dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 376
Kanun Keseksaan.
-Bernama


