Najib Razak memfailkan permohonan notis usul untuk
menangguhkan perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB dihadapi
beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang
dijadualkan bermula Isnin ini.
Notis usul itu difailkan semalam menerusi firma guaman
Tetuan Shafee & Co menamakan Pendakwa Raya dan Arul Kanda sebagai
responden.
Loading...
Dalam notis berkenaan, bekas perdana menteri itu memohon
supaya perbicaraan yang dijadualkan bermula Isnin ini sehingga 29 Nov di
hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan ditangguh dan memohon
bermula pada 13 Jan 2020.
Turut disertakan dalam notis usul itu afidavit sokongan yang
diikrarkan Najib semalam, yang merupakan tertuduh pertama dalam kes itu.
Najib memberi alasan, beliau dan barisan peguamnya hanya ada
sehingga 2 Dis ini bagi membuat persediaan untuk membela diri terhadap
pertuduhan lain yang dihadapinya iaitu menyeleweng RM42 juta dana SRC
International Sdn Bhd (kes SRC).
Pada 11 Nov lepas Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd
Ghazali memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga pertuduhan pecah amanah
jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah
guna kedudukan berkaitan dana itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya
membuktikan kes prima facie.
loading...
Menurut Najib, sekiranya perbicaraan di hadapan Hakim
Mohamed Zaini diteruskan ia dibimbangi akan memprejudiskannya berikutan beliau
dan pasukan peguamnya memerlukan masa munasabah serta mencukupi bagi
menyediakan pembelaan beliau dalam kes SRC, di mana beliau berdepan dengan
pertuduhan yang serius.
Ahli Parlimen Pekan itu antara lain turut menyebut, pasukan
peguamnya pada masa sama terlibat dalam penyediaan bagi satu lagi kes 1MDB yang
dihadapi beliau yang telah bermula pada 28 Ogos lepas dan masih berlangsung
sehingga kini.
“Berikutan dengan dapatan bahawa prima facie telah berjaya
dibuktikan dalam kes SRC pada Isnin lepas, Hakim Mohd Nazlan telah mengarahkan
pihak pembelaan untuk memulakan kes pembelaan pada 3 Dis ini. Ini telah
menyebabkan pasukan pembelaan saya mempunyai masa terhad iaitu kira-kira dua
minggu untuk menyediakan pembelaan termasuk saksi.
“Dengan permulaan perbicaraan kes meminda laporan akhir
pengauditan 1MDB pada bulan ini, ia akan menghalang saya dan peguam-peguam saya
peluang untuk menyediakan kes pembelaan saya secara menyeluruh dan
efektif," katanya.
Najib berkata beliau sesungguhnya percaya bahawa permohonan
penangguhan singkat tersebut adalah wajar bagi membolehkan beliau mendapat satu
perbicaraan yang adil selaras dengan hak perlembagaannya, bagi kepentingan
keadilan dan bagi membolehkan mahkamah dalam kes SRC mengambil kira segala
keterangan yang material untuk membuat keputusan adil dalam prosiding tersebut.
Menurut bekas perdana menteri itu lagi, responden-responden
tidak akan diprejudiskan dalam permohonan tersebut jika mahkamah
membenarkannya.
“Walaupun terdapat sedikit kelewatan dalam memulakan
perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB, saya percaya bahawa
penangguhan itu adalah perlu dan wajar dalam kepentingan keadilan serta ia
selari dengan hak saya untuk mendapatkan perbicaraan yang adil seperti
diperuntukkan dalam perlembagaan,” katanya.
Semalam, Hakim Mohamed Zaini memutuskan untuk meneruskan
perbicaraan kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB tersebut pada Isnin
seperti dijadualkan sebelum ini, selepas berpendapat terdapat kesukaran untuk
mencari tarikh lain.
Keputusan itu susulan permohonan bekas hakim Mahkamah
Persekutuan Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan pada 7 Nov lepas,
untuk mengosongkan tarikh perbicaraan berikutan saksi utama yang akan dipanggil
memberi keterangan dalam kes tersebut sedang memberi keterangan dalam
pemeriksaan balas pada perbicaraan kes Najib yang menghadapi pertuduhan
menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB.
Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunakan
jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda,
sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi
mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.
Beliau dituduh sebagai seorang pegawai awam iaitu perdana
menteri, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu
perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah
berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir
Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu
dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang beliau secara langsung
mempunyai kepentingan.
Najib didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Kompleks
Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,
antara 22 Febi 2016 dan 26 Feb 2016.
Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta
sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum
lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan
itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut
mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Arul Kanda, 43, pula didakwa bersubahat dengan Najib, 66,
meminda laporan itu, bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada
dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, di tempat dan
masa sama mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 23
(1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit
kesalahan.
- Bernama


