Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata
Umno tidak meletakkan calon sebagai wakil Barisan Nasional (BN) pada Pilihan
Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, kerana takut kalah.
“Umno takut. Sebab saya tahu kalau dia letak (calon Umno mewakili
BN), akan kalah. Kita yakin kita boleh menang walaupun dia letak sesiapa. Kalau
letak Umno lebih baik, tapi dia letak MCA (sebagai wakil BN),” katanya.
Loading...
Perdana menteri berkata demikian ketika ditemui media pada
Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bin Chong
sempena lawatan kerja sehari ke Johor hari ini.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu ditanya mengenai BN
yang mengumumkan calon daripada MCA iaitu bekas penyandang Dr Wee Jeck Seng,
55, bagi mewakili parti itu, merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai, dan bukannya
calon daripada Umno seperti disebut-sebut sebelum ini.
Wee pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua
penggal pada 2008 hingga 2018. Beliau sekali lagi bertanding bagi kerusi
parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tahun lepas, namun tewas
kepada calon PH Allahyarham Dr Md Farid Md Rafiq.
Isnin lalu, Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Karmaine
Sardini, 66, diumumkan sebagai calon PH untuk PRK tersebut.
loading...
Berasal dari Pontian, Karmaine merupakan anak seorang tokoh
agama tempatan dan pernah menjadi Imam Masjid Al-Muttaqin di Johor Bahru serta
Pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.
Pada PRU14, Karmaine bertanding di kerusi parlimen Pontian,
tetapi tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan hanya majoriti 833
undi.
Terdahulu dalam ucapannya, Dr Mahathir sempat menyentuh
mengenai Karmaine, yang diyakini akan memberi kemenangan dan mengekalkan kerusi
tersebut buat PH dan kerajaan.
“Saya percaya, calon ini boleh menunaikan janji-janjinya.
Beliau dikenali di kawasan ini dan akan mendapat sokongan daripada kerajaan
(untuk menunaikan janji).
"Saya berasa gembira berada di sini. Kita akan berusaha
untuk memastikan beliau akan berjaya. Itulah harapan kita,” katanya yang
disambut dengan tepukan gemuruh.
Dr Mahathir dalam ucapannya juga turut berpesan bahawa hanya
calon daripada kerajaan sahaja yang mampu menunaikan janji, berbanding daripada
kem pembangkang yang hanya pandai menabur janji serta tidak boleh melaksanakannya.
Tegasnya, PRK ini bukan medan menukar kerajaan dan kerana
itu janji-janji pembangkang tidak boleh ditunaikan, berikutan tiada mandat dan
kuasa berbanding calon daripada parti kerajaan.
“Siapa menang, kalah, kerajaan tetap sama iaitu PH. Kenapa
saya cakap tiada perubahan? Kerana pembangkang hanya akan berjanji (ketika PRK)
tetapi apabila menang, mereka tidak boleh menunaikan janji kerana mereka bukan
kerajaan.
“Tetapi jika PH menang, kita boleh tunaikan janji. Niat kita
untuk bantu dan kayakan rakyat khasnya di kawasan luar bandar. Ada perbezaan
dari segi kampung, negeri, bangsa dan kaum...kekayaan ini berbeza-beza dan
boleh timbul perasaan marah dengki.
"Tetapi jika kita boleh kurangkan jarak pendapatan,
soal kelainan dan perbezaan ini tidak akan menjadi masalah besar antara satu
sama lain,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Nov sebagai hari
penamaan calon dan 16 Nov sebagai hari mengundi bagi pilihan raya kecil
parlimen itu.
PRK itu diadakan selepas penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik,
42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.
Pada PRU14, Dr Md Farid memenangi kerusi Parlimen itu dengan
memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman
(2,962 undi).
- Bernama


