Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini hari
ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang bermula esok.
Pesawat khas yang membawa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr
Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Terminal 2, Tentera Udara, Lapangan Terbang
Antarabangsa Don Mueang pada jam 4.50 petang waktu Malaysia.
Loading...
Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah disambut oleh Menteri Pendidikan
Thailand, Nataphol Teepsuwan.
Turut menyambut ketibaan beliau ialah Menteri Luar, Datuk
Saifuddin Abdullah dan Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel.
Dr Mahathir, yang mengetuai delegasi negara pada persidangan
kali terakhir dipengerusikan Thailand selaku Pengerusi ASEAN 2019, mempunyai
jadual padat sepanjang tiga hari sidang kemuncak itu di Pusat Pameran dan
Konvensyen IMPACT di sini.
Delegasi negara turut disertai Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan
kerajaan dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra dan MITI.
loading...
Perdana Menteri dijadual menghadiri sekurang-kurangnya lapan
mesyuarat dengan pemimpin-pemimpin anggota ASEAN serta dari rantau ini serta
mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Prayuth
Chan-ocha dan Scott Morrison dari Australia.
Esok, Dr Mahathir dijadual melawat Pameran Komuniti ASEAN
bertema ‘Gaya ASEAN: Berkongsi Masa Depan’ sempena Sidang Kemuncak ASEAN itu
serta melawat gerai Malaysia yang mempamerkan produk dan perkhidmatan pada
pameran itu.
Selepas itu, beliau akan menghadiri sesi dialog Sidang
Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN 2019 (ABIS) bertema ‘Memperkasakan
ASEAN 4.0’
Pada sebelah tengah hari, Dr Mahathir dijadual menghadiri sesi
pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 yang membincangkan agenda bertema
'Memperkukuh Kerjasama Bagi Kemampanan’ serta hubungan luar dan hala tuju ASEAN
serta isu-isu serantau dan antarabangsa.
Sepanjang sidang kemuncak tersebut, Dr Mahathir juga
dijadual menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-22, Sidang Kemuncak
ASEAN-India ke-16, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
ke-10, Sidang Kemuncak ASEAN+3 ke-22, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat
ke-7, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-14. Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-22 dan
Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) ke-3.
Dalam pada itu, Dr Siti Hasmah mempunyai jadual berasingan.
Beliau dijadual melawat Pameran Pengurusan Sisa oleh
syarikat pengeluar simen, Siam Cement Public Company Limted (SG) dan syarikat
pengeluar bahan kimia, PTT Global Chemical Public Company Limted (GC) di Pusat
Pameran dan Konvensyen IMPACT.
Dr Siti Hasmah juga dijadual menghadiri sesi interaktif
mengenai perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan sisa anjuran Kementerian
Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand.
Pada Isnin, Dr Siti Hasmah dan isteri-isteri ketua-ketua
kerajaan dan negara akan melawat Muzium Negara Bangkok di Pavilion Samran
Mukkhamatya serta Istana Bangkunprom di Samsen Road sebelum menghadiri jamuan
tengah hari dihoskan oleh isteri perdana menteri Thailand, Prof Madya Naraporn
Chan o-cha. - Bernama


