Bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan
Tengku Mansor hari ini menarik balik permohonannya untuk membatalkan
penghakiman terus yang dimohon Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
LHDN memohon supaya kes samannya terhadap Tengku Adnan, bagi
menuntut bekas Setiausaha Agung Umno itu membayar wang berjumlah RM57.17 juta
terhadap cukai pendapatan yang tidak dibayar sejak 2012 sehingga 2017,
diputuskan melalui penghakiman terus, tanpa melalui perbicaraan.
Loading...
Berdasarkan maklumat mahkamah, peguam Bahari Yeow Tien Hong,
yang mewakili Tengku Adnan memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya
ingin menarik balik permohonan untuk membatalkan penghakiman terus berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar kemudiannya
membenarkan permohonan Tengku Adnan dan mengarahkannya membayar kos RM2,000
kepada LHDN.
Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri Peguam Kanan
Hasil Al-Hummidallah Idrus mewakili LHDN.
LHDN sebagai plaintif memohon untuk penghakiman terus di
bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
loading...
Penghakiman terus ialah di mana mahkamah memutuskan sesuatu
kes didengar melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan 15 Nov untuk mendengar
permohonan Tengku Adnan bagi menggantung prosiding kes itu sementara rayuannya
terhadap penilaian semula taksiran cukai kepada LHDN selesai.
Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman itu pada 24
Julai lepas, selepas mendakwa Tengku Adnan selaku defendan masih terhutang bagi
cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2012 sehingga tahun taksiran 2017 seperti
yang dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Berdasarkan penyataan tuntutan, LHDN mendakwa, oleh kerana
Tengku Adnan gagal membayar jumlah cukai pendapatan itu dalam tempoh 30 hari
dari tarikh penyampaian Notis Taksiran yang ditetapkan di bawah Seksyen 103
Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus telah dikenakan.
Plaintif berkata defendan masih gagal menjelaskan
keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang
itu dalam tempoh 60 hari, menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi
dikenakan terhadap defendan.
Ia mendakwa sehingga kini defendan masih gagal membayar amaun
cukai pendapatan yang masih terhutang termasuk dengan kenaikan yang kesemuanya
berjumlah RM57,167,069.35.
Jumlah itu ialah RM64,444.38 (2012); RM6,614,861.59 (2013);
RM8,887,576.69 (2014); RM9,198,523.67 (2015); RM5,520,818.05 (2016); dan
RM26,880,844.97 (2017).
Oleh itu, plaintif menuntut daripada defendan jumlah
RM57,167,069.35, faedah atas jumlah RM57,167,069.35 pada kadar lima peratus
setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain
relif yang disifatkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama


