Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual
mengumumkan keputusan sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak akan dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan
menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd (SRC)
Keputusan berkenaan dijangka akan diumumkan pada jam 10 pagi
ini.
Loading...
Najib tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini pada jam
8.50 pagi tadi disambut lebih 100 penyokongnya bagi mengikuti prosiding
keputusan kes.
Najib berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT),
satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram
membabitkan dana SRC.
Perbicaraan kes berprofil tinggi itu mengambil masa selama
58 hari di peringkat kes pendakwaan bermula 3 April lalu yang melibatkan
keterangan 57 saksi dengan 750 barang kes dikemukakan.
Sekiranya Najib diperintah membela diri, mahkamah sebelum
ini menetapkan tarikh perbicaraan di peringkat pembelaan selama 10 hari bermula
3 dan 4 Disember, sebelum bersambung pada 9 hingga 12 Disember dan diteruskan
pada 16 hingga 19 Disember ini.
loading...
Terdapat tiga pilihan membela diri iaitu pertama, memberi
keterangan bersumpah di tempat duduk saksi, yang mana tertakluk kepada
pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Kedua, keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh
(memberi keterangan dari kandang tertuduh).
Ketiga, berdiam diri (jika memilih untuk berdiam diri),
mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.
Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara, Tan Sri Tommy
Thomas dan barisan peguam bela diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Najib, 66, merupakan Perdana Menteri pertama di negara ini
yang menghadapi pertuduhan di mahkamah. - Sinar Harian


