Datuk Seri Najib Tun Razak akan mencabar kesahan pelantikan
Datuk D.P Naban sebagai peguam mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
berkaitan saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion
daripada bekas perdana menteri itu.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib
berkata beliau akan mencabar pelantikan dan kelayakan Naban kerana firma beliau
(Naban) mungkin ada kepentingan.
Loading...
"Isu kelayakan juga akan dibangkitkan kerana kami baru
dimaklumkan bahawa firma rakan saya ini bertindak atas kepentingan kerana ia
telah mewakili kes terhadap anak guam saya dan terhadap LHDN," katanya
kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache hari ini.
Peguam itu berkata terdapat kes serupa yang melibatkan
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram, di mana panel tujuh
hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tan Sri
Tengku Maimun Tuan Mat telah memutuskan pada 7 Ogos bahawa surat perlantikan
mesti ditunjukkan kepada mahkamah dan pihak pembelaan.
loading...
Sementara itu, Naban berkata beliau bersedia untuk
menunjukkan surat pelantikannya yang dibuat di bawah Seksyen 24 (3) Akta
Prosiding Kerajaan 1956, kepada mahkamah sahaja.
"Saya tidak pernah bertanya kepada rakan saya mengenai
surat pelantikan mereka. Saya tidak mempunyai hak untuk meminta surat
pelantikan beliau (Muhammad Shafee). Begitu juga, beliau tidak perlu meminta
surat pelantikan saya kerana kerajaan berhak untuk melantik saya. Saya tidak
faham asas perkara ini," katanya.
Ahmad kemudiannya menetapkan 29 Nov ini untuk pengurusan
kes.
Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan LHDN, Abu Tariq
Jamaluddin memperkenalkan Naban kepada mahkamah sebagai anggota pasukan
perundangan LHDN.
Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk
menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh
LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada
LHDN.
Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan
Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan
rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.
Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani
Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta
Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap
penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dibangkitkan.
Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman
terhadap Najib bagi menuntut Najib membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN
yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017. - Bernama


