Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu tambahan
RM1 bilion yang dilaburkan dalam perjanjian usaha sama 1Malaysia Development
Berhad (1MDB)-PetroSaudi diluluskan Najib Razak, pada 2011.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral
Ibrahim Halmi yang berkata demikian, bagaimanapun tidak bersetuju terhadap
cadangan bahawa lembaga pengarah (BOD) mengesyorkan Najib (pemegang saham hak
keutamaan) meluluskan dana tambahan itu.
Loading...
Saksi berusia 49 tahun itu berkata demikian apabila dia
ditunjukkan pernyataan saksinya berhubung Resolusi Pemegang Saham Keutamaan
Boleh Tebus Hak Istimewa bertarikh 16 Mei 2011 oleh peguam Najib, Muhammad
Shafee Abdullah pada hari ke-33 perbicaraan kes dana 1MDB bekas perdana menteri
itu.
Muhammad Shafee yang membacakan pernyataan saksi Shahrol
Azral berkata, Najib atas kedudukannya sebagai menteri kewangan ketika itu
melalui Menteri Kewangan Diperbadankan, menandatangani perjanjian pelaburan
tambahan RM1 bilion, usaha sama 1MDB-PetroSaudi menerusi Perjanjian Pembiayaan
Murabaha.
Shafee: Daripada keterangan kamu tadi, anda mengatakan
bahawa lembaga pengarah disarankan tanpa keraguan kepada Pemegang Saham
Keutamaan Boleh Tebus Hak Istimewa untuk menandatangani kerana mereka (BOD)
cukup gembira dengan hasil mesyuarat PSI di London?
Shahrol Azral: Tidak…mereka berpuas hati hasil mesyuarat
bersama PSI itu dan dalam mesyuarat itu dengan Najib sebelum mesyuarat lembaga.
Lembaga pengarah berpuas hati bahawa ini adalah selaras dengan apa yang
strategik kepada Najib dan juga untuk negara. Saya tidak setuju bahawa lembaga
yang menyarankan kepada Najib.
loading...
Kepada soalan lain, saksi itu berkata lembaga itu ‘gembira’
dan selesa dengan PSI serta berpuas hati dengan penjelasan Tarek Obaid (CEO
PSI) dan Patrick Mahony (pengarah PSI) kepada Najib (Pengerusi lembaga
penasihat) semasa lawatan ke pejabat PSI di London pada 16 Mei 2011.
Beliau berkata dia menghadiri kedua-dua mesyuarat antara
lembaga 1MDB dan PSI, serta mesyuarat lembaga 1MDB, PSI dan Najib.
Apabila ditanya mengapa RM1 bilion (pinjaman tambahan) tidak
dibincangkan dalam resolusi pekeliling pengarah (DCR) 1MDB, saksi itu berkata
perkara itu dibincangkan tetapi tidak didokumenkan dalam minit tersebut.
Shafee: Boleh saya bertanya anda, bagi kali ketiga, boleh
tunjukkan saya bahagian mana minit yang didokumenkan bahawa lembaga
membincangkan perkara itu dalam DCR?
Shahrol Azral: Saya ulang, buat kali ketiga, ia dibincangkan
pada mesyuarat sebelum itu pada 4 April 2011 di Kuala Lumpur dan keseluruhan
tujuan lembaga melawat PSI adalah untuk memastikan mereka selesa dengan PSI
sebelum menandatangani DCR.
Shafee: Saya menyatakan kepada anda bahawa perkara dalam DCR
itu sengaja tidak dinyatakan untuk menyekat lembaga daripada melakukan
perbincangan penuh mengenainya.
Shahrol Azral: Saya benar-benar tidak bersetuju.
Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan
kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB
dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah
diteruskan, dengan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga
bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram.
-Bernama


